» » Putrajaya disasar jadi bandar terbersih di dunia



PUTRAJAYA 13 Dis. – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) akan bekerjasama dengan Perbadanan Putrajaya (PPj) supaya Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu dapat diiktiraf sebagai bandar terbersih dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPPA, Datuk Ab. Rahim Md. Noor berkata, kejayaan pengiktirafan antarabangsa tersebut akan meletakkan Putrajaya setaraf dengan bandar-bandar bersih yang lain seperti Calgary di Kanada; Helsinki, Finland; Honolulu, Hawaii; Wellington, New Zealand; Adelaide, Australia dan Kobe, Jepun.

Menurutnya, beberapa universiti dan institusi telah melakukan kajian serta kedudukan tentang bandar bersih dan pihaknya perlu meneliti kriteria-kriteria tersebut supaya Putrajaya juga boleh diiktiraf sebagai antara bandar terbersih dunia.

Beliau berkata, pemantauan awal mendapati Putrajaya berpeluang untuk mendapat pengiktirafan bandar terbersih dunia berdasarkan pelbagai usaha yang telah dilakukan PPj.

"Untuk menjadi bandar terbersih dunia, satu-satu bandar itu mesti memenuhi beberapa syarat termasuk sumber air dan udara yang bersih, mempunyai ciri-ciri pembangunan mampan serta memiliki habitat sesuai untuk hidupan liar.

"Dalam segi kualiti air, Putrajaya sememangnya amat menitik berat mutu air dalam tasik dan tidak membenarkan sebarang pencemaran berlaku," katanya kepada pemberita dalam majlis Operasi Mata Helang di sini hari ini.

Operasi itu dijalankan untuk memastikan Putrajaya bersih dan tidak mempunyai isu sampah di kawasan-kawasan kejiranan.

Mengulas lanjut, Ab. Rahim berkata, PPj mempunyai sistem tersendiri dalam penjagaan kebersihan alam sekitar dengan wujudnya bahagian landskap dan unit hidupan liar yang bertanggungjawab memastikan Putrajaya sebagai bandar hijau yang bersih.

Ab. Rahim berkata, PPSPPA telah meletakkan sasaran untuk menjadikan Putrajaya, Muar, Rembau, Pekan dan Langkawi sebagai lima bandar terbersih yang pertama di negara ini.

"Putrajaya secara keseluruhannya telah menjadi bandar terbersih di Malaysia dan tidak wujud isu-isu kebersihan di sini," katanya. -utusan

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply