
Ibu bapa pelajar sekolah Tinggi Rosemary Anderson di bandar Oregon
berkumpul di luar bangunan sekolah selepas kejadian tembakan yang
menyebabkan tiga remaja cedera, semalam. – AGENSI
OREGON 13 Dis. – Sebanyak tiga orang remaja cedera ditembak, dalam satu kejadian tembakan di luar bangunan Sekolah Tinggi Rosemary Anderson, di utara Portland di bandar Oregon, barat laut Amerika Syarikat (AS), semalam.
Menurut Jabatan Polis Portland, pasukan penyiasat telah melancarkan gerakan memburu selepas seorang lelaki bersenjata yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kumpulan, melepaskan tembakan itu sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Ketiga-tiga mangsa yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan masih bernafas ketika berada di lokasi kejadian,” katanya menerusi laman Twitter.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba Portland, kejadian itu berlaku dua tahun selepas insiden pembunuhan ramai pelajar di Sekolah Sandy Hook di Newtown, Connecticut.
Dalam kejadian pada 14 Disember 2012 di Sekolah Sandy Hook, seorang remaja, Adam Lanza menembak mati 20 orang kanak-kanak dan enam orang dewasa termasuk guru sekolah itu sebelum menembak matii dirinya sendiri.
Polis berkata, semua mangsa melarikan diri ke sekolah tinggi itu sebelum penembak melarikan diri dari kawasan tersebut.
“Saya bersyukur kerana tiada kehilangan nyawa dalam kejadian tembakan kali ini,” kata jurucakap Polis Portland, Pete Simpson. –AFP
No comments: