» » Perwakilan luar negara harus sentiasa ikuti status keselamatan ESSZONE



KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mohammad Mentek mahu pejabat kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di luar negara supaya sentiasa melayari portal ESSCOM TIMES bagi mengikuti perkembangan terkini status keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Ketika membuat gesaan itu, beliau berkata usaha ini penting bagi membolehkan ketua perwakilan Malaysia di luar negara membantu memperjelaskan keadaan sebenar mengenai keselamatan, khususnya di kawasan pantai timur Sabah.

Mohammad berkata ESSCOM TIMES yang merupakan portal berita rasmi ESSCOM boleh dilayari di www.esscom.gov.my.

"Kita sedar masih ada khabar-khabar angin terutama yang disebarkan melalui media sosial kononnya gelombang kedua pencerobohan pengganas akan berlaku lagi.

"Gambaran ancaman ini tidak tetap dan ia sengaja diuar-uarkan golongan tertentu untuk menakut-nakutkan orang ramai dan pelancong," katanya pada sesi soal jawab selepas menyampaikan taklimat khas ESSCOM kepada peserta Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Malaysia ke-8 di sini malam tadi.

Mohammad berkata setakat ini, tidak berlaku lagi sebarang pencerobohan sejak insiden kumpulan pengganas dari Selatan Filipina pada Februari tahun lepas, namun beliau berharap pihak kedutaan Malaysia di luar negara dapat sentiasa mengikuti perkembangan terkini menerusi ESSCOM TIMES.

Beliau berkata, ESSCOM tidak akan mengeluarkan kenyataan atau reaksi terhadap khabar angin yang boleh mengeruhkan keadaan terutama industri pelancongan negeri.

Katanya, insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu dan insiden penculikan Pulau Pom-Pom tahun lepas tidak menjejaskan iklim pelaburan dan kehadiran pelancong di ESSZONE.

Berikutan itu, Mohammad berkata ESSCOM telah meningkatkan kawalan keselamatan di ESSZONE, terutama pulau peranginan yang menjadi tumpuan pelancong. - BERNAMA

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply