» » Barang lain akan turun jika minyak murah


KUALA LUMPUR - Walaupun penurunan harga minyak mentah menjejaskan kebanyakan syarikat minyak dan gas tempatan, masih ada harapan bagi sektor-sektor lain meraih manfaat daripadanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Tajuddin Atan berkata, terdapat 906 syarikat yang disenaraikan di bursa, merangkumi 60 aktiviti ekonomi.

Beliau berkata, pasaran perlu mencari tahap tersendiri berdasarkan asas-asas dan penilaian.

Memberi contoh sektor dengan asas yang kukuh, beliau berkata syarikat pembuatan kayu dalam negara ini akan menawarkan peluang pada masa ini.

"Saya tidak terlalu bimbang tentang trend yang sedang berlaku dan jika berlarutan, ia memberi peluang kepada yang lain.

"Fokus sekarang sentiasa terhadap minyak, ke mana halanya, secara realistik ekonomi meliputi banyak sektor," katanya kepada pemberita di luar majlis penyenaraian E.A Technique (M) Bhd di sini hari ini.

E.A Technique, pada dasarnya merupakan pemilik dan pengendali kapal marin, menyediakan pengangkutan marin dan penyimpanan minyak dan gas luar pesisir, serta penyediaan perkhidmatan marin pelabuhan.

Menurut laporan, harga minyak turun ke paras rendah baharu dalam lima tahun di bawah US$65 setong dengan tanda-tanda lebihan bekalan dan permintaan suram setelah pertumbuhan ekonomi lembap.

Saham minyak dan gas tempatan kini mengalami isu penilaian yang lebih rendah berikutan penurunan harga minyak tetapi meskipun demikian, sektor-sektor lain boleh mendapat manfaat daripadanya.

"Proses pemulihan harga akan berlaku dan menyediakan peluang bagi semua orang mencari asas yang baik berdasarkan penilaian," katanya. - Bernama

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply