» » Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1: Unit Marin di Lumut dan Kuala Perlis tidak capai sasaran rondaan


KUALA LUMPUR: Unit Marin di Pangkalan Marin Kastam (PMK) Lumut dan PMK Kuala Perlis didapati tidak mencapai sasaran rondaan yang telah ditetapkan berdasarkan faktor tertentu.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini menyatakan ketidakcapaian ini berpunca daripada antara lainnya, unit Marin terlibat dengan rondaan darat dan rondaan Patroli Koordinasi Customs Indonesia-Malaysia dan faktor cuaca yang menghalang aktiviti rondaan.

"Kekurangan bot jabatan (sama ada diserah kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ataupun menghadapi kerosakan) serta ketidakseimbangan anggota Unit Marin berdasarkan bilangan bot yang sedia ada turut menjadi faktor penyumbang," menurut laporan itu.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam maklum balas bertarikh 18 Februari bagi PMK Lumut, menyatakan rondaan laut yang dilaksanakan sehingga bulan Disember 2013 adalah sebanyak 69 (38.3 peratus) daripada 180 kali yang disasarkan.

Keadaan ini berlaku disebabkan kerosakan bot bilangan anggota yang terhad dan penglibatan anggota dalam operasi-operasi khas di luar kawasan.

Bagi PMK Kuala Perlis sasaran rondaan tidak tercapai hanya pada tahun 2011 dan 2012 sahaja disebabkan anggota unit Marin turut terlibat rondaan dan operasi-operasi darat, faktor cuaca yang menghalang aktiviti rondaan, kekurangan bot kastam serta tidak keseimbangan anggota unit Marin.

Bagi tahun 2013, unit Marin Kuala Perlis telah mencapai sasaran rondaan sehingga 139.4 peratus.
"Diakui terdapat beberapa permohonan daripada pihak stesen lewat diberi kelulusan oleh ibu pejabat. Kelewatan kelulusan permohonan ini selalunya berkait dengan permohonan pembaikan kerosakan enjin," menurut laporan itu lagi.

Audit berpendapat bilangan bot (termasuk kelewatan meluluskan permohonan pembaikan) dan ketidakseimbangan anggota unit Marin berdasarkan bilangan bot sedia ada secara langsung telah memberi impak kepada prestasi rondaan unit Marin di PMK yang diaudit.

Selain itu, Audit turut mengenal pasti pembinaan jeti bernilai RM458,135 di bawah projek pembinaan PMK Tanjung Gemok, Pahang tidak digunakan kerana tiada bot jabatan mahupun unit Marin ditempatkan di PMK tersebut.

JKDM dalam maklum balas menyatakan penempatan bot dan anggota unit Marin telah dilaksanakan pada Februari lepas (2014).

Audit berpendapat jika bot dan anggota Marin tidak ditempatkan Tanjung Gemok, Pahang, maka objektif pembinaan jeti ini tidak dapat dicapai. - BH

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply