PUTRAJAYA - Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank mulai 22 Februari ini bertujuan memudahkan urusan pemindahan wang kepada penerima bantuan kerajaan itu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan mengambil perhatian terhadap semua maklum balas oleh penerima BR1M dan pengalaman menguruskan penyampaian BR1M sebelum ini.
"Sebelum ini, penerima BR1M perlu menunggu lama dan beratur panjang untuk menerima wang BR1M sehingga menyebabkan keadaan tidak selesa, sehubungan itu, kabinet telah sebulat suara meluluskan pemberian BR1M 3.0 kali ini disalurkan terus kepada penerima menerusi akaun bank tanpa melalui pelbagai prosedur yang menyusahkan,” katanya.
Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu IBM Global Delivery Centre (Malaysia) Sdn Bhd, di Cyberjaya dekat sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali dan Pengarah IBM Global Delivery Centre (Malaysia) Sdn Bhd, Craig Tucker.
Ahmad Shabery mengulas kenyataan beberapa pihak bahawa pemberian BR1M terus ke akaun penerima akan menghalang interaksi antara pemimpin Barisan Nasional (BN) dan rakyat kerana sebelum ini penyampaian BR1M diadakan dalam pelbagai majlis yang dianjurkan di seluruh negara. - Bernama
No comments: