» »Unlabelled » Peguam Morsi keluar mahkamah

GAMBAR bertarikh 28 Januari lalu menunjukkan Morsi diletakkan di dalam kandang berkaca di sebuah mahkamah di Kaherah.

KAHERAH - Barisan peguam yang mewakili bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi bertindak keluar dari sebuah mahkamah sebagai bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa meletakkannya di dalam kadang berkaca yang kalis bunyi.

Beberapa stesen televisyen tempatan melaporkan, Hakim Shaaban el-Shamy mengarahkan perbicaraan berehat sebentar selepas barisan peguam Morsi bertindak keluar dari mahkamah.

Morsi diletakkan di dalam kurungan berkenaan selepas beliau dan beberapa tertuduh yang lain sering mengganggu perbicaraan apabila mereka berbalah dengan hakim.

Kurungan kaca itu membolehkan hakim mengawal keadaan dan hanya membenarkan tertuduh bercakap apabila diarahkan.

Morsi semalam dihadap ke mahkamah atas tuduhan mengintip dan melancarkan serangan di negara ini.

Morsi dan 35 tahanan lain termasuk pembantu serta bekas beberapa pemimpin pergerakan Ikhwanul Muslimin didakwa mengintip untuk organisasi antarabangsa.

Antara organisasi antarabangsa itu ialah pergerakan Hamas di Palestin.

Mereka juga didakwa melancarkan aktiviti keganasan di negara ini dengan menyerang harta negara, institusi dan penjawat awam bagi mencetuskan keadaan huru-hara.

Jika didapati bersalah, kesemua tertuduh berdepan hukuman mati.

Morsi turut menghadapi perbicaraan kerana membunuh pemimpin penunjuk perasaan pada Disember 2012 dan satu lagi perbicaraan atas tuduhan melarikan diri dari penjara pada tahun 2011.

Beliau juga bakal dibicarakan atas satu lagi tuduhan kerana menghina badan kehakiman.

Sepanjang pemerintahan Morsi, hubungan antara Kaherah dan Hamas yang memerintah di Genting Gaza semakin erat.

Bagaimanapun, beliau digulingkan tentera yang melakukan rampasan kuasa pada Julai tahun lalu.

Pihak tentera menuduh Hamas menyokong Morsi dan Ikhwanul Muslimin serta melancarkan serangan ke atas Mesir.

Morsi digulingkan selepas rakyat negara ini membantah beberapa dasar beliau antaranya adalah keputusannya tidak boleh dicabar di mahkamah. - AFP

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply