Sembilan direman kes gaduh
SHAH ALAM – Sembilan daripada 15 lelaki yang dicari bagi membantu siasatan berhubung insiden penyokong Vietnam diserang ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Shah Alam pada Ahad lalu ditahan reman empat hari bermula semalam.
Perintah reman terhadap sembilan lelaki tempatan berusia 19 hingga 29 tahun itu dikeluarkan Majistret Farah Azura Mohd. Saad di Mahkamah Majistret di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, kesemua lelaki itu ditahan antara pukul 10.30 malam kelmarin dan awal pagi semalam di beberapa lokasi berasingan.
“Lima daripada suspek ditahan di Johor manakala masing-masing dua lagi ditahan di Selangor dan Kuala Lumpur.
“Tujuh suspek ditahan di kediaman masing-masing manakala dua lagi masing-masing ditahan di tepi jalan,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam. -KSM

No comments: