Malaysia layak ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2014
MALAYSIA tampil dalam kelas tersendiri apabila mara ke pentas final Piala AFF Suzuki 2014 setelah mengaibkan Vietnam dengan agregat 5-4 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam malam tadi.
Skuad Harimau Malaya mempamerkan taring sebenar selepas membenam Red Jersey 4-2 pada separuh akhir kedua di stadium keramat mereka dengan disaksikan puluhan ribu penyokong tuan rumah.
Pada separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, skuad negara tewas 1-2 Ahad lalu.
Magis yang ditampilkan skuad negara bimbingan Dollah Salleh itu mengulangi kejayaan pada edisi 2010 apabila Malaysia muncul juara setelah menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2.
Harimau Malaya meraih gol pertama menerusi sepakan penalti Safiq Rahim pada minit ketiga dan diikuti jaringan kedua melalui Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-15.
Kesilapan pertahanan tuan rumah, Dinh Tien Thanh mengembirakan Malaysia apabila dia menjaringkan gol sendiri pada minit ke-28 dan kapten pasukan, Shukor Adan juga tidak ketinggalan menyumbat gol pada minit ke-42.
Dua gol Vietnam pula dihasilkan oleh kapten pasukan, Le Cong Vinh menerusi sepakan penalti pada minit ke-22 dan 78.
Dalam pada itu jurulatih negara, Dollah Salleh tanpa berselindung memuji Shukor yang menjadi watak penting kemenangan Harimau Malaya.
“Shukor memainkan peranan sentiasa membakar semangat rakan-rakan untuk bangkit memperbaiki kesalahan dan melakukan yang terbaik.
“Bagi saya kalau kita dapat mengekalkan disiplin ini tidak mustahil seperti yang saya katakan kepada pemain bahawa kita boleh menang di sini dan kita buktikan. Kenapa tidak nanti kita menang di Thailand? Kita sudah sampai ke penghujung semestinya kita mahukan piala itu,” katanya.
Menanti Malaysia di final ialah Thailand dengan aksi pertama berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Rabu depan manakala perlawanan akhir kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 20 Disember. kosmo

No comments: