» » Alphard, Previa jadi taruhan


Berikutan pasaran yang semakin me­ningkat dalam segmen kenderaan pelbagai guna (MPV), UMW Toyota Motor Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Toyota di Malaysia, kini menawarkan Toyota Alphard dan Previa sebagai sebahagian daripada barisan produk terbaru untuk pasaran tempatan.

Kedua-dua model MPV itu sangat popular di Malaysia, tetapi setakat ini ha­nya boleh didapati daripada pengimport swasta yang dibeli menerusi penjual kereta terpakai di Jepun.

Bagaimanapun, dengan pembelian menerusi UMW Toyota Motor, MPV mewah itu diperoleh secara langsung dari kilang Toyota di negara matahari terbit serta dileng­kapi jaminan kualiti yang unggul iaitu selama tiga tahun atau 100,000 kilometer.

Berita baik kepada 300 pelanggan pertama kerana mereka akan menerima pakej percuma bagi servis dalam tempoh tiga tahun, termasuk cukai jalan dan insurans, selepas memilikinya dalam tempoh setahun.

UMW Toyota Motor juga menyediakan alat ganti dan bantuan teknikal yang berkelayakan di 72 pusat servis seluruh negara - kemudahan yang tidak disediakan jika membeli kenderaan import menerusi pihak lain.

               Foto
               PRESIDEN UMW Toyota, Datuk Ismet Suki bersama Toyota Alphard dan Previa.


Tambahan pula, semua kenderaan yang diedar oleh UMW Toyota Motor memenuhi spesifikasi tempatan, termasuk faktor jalan dan cuaca di negara ini.

Bagi model Toyota Previa, ia sebelum ini dikenali sebagai Estima generasi ketiga yang dilengkapi bentuk menarik dan aerodinamik.

Kenderaan tujuh tempat duduk itu menggunakan enjin 2AZ-FE berkapasiti 2.4 liter DOHC VVT-i de­ngan 16 injap, selain padanan transmisi automatik Super ECT yang boleh ditukar kepada manual.

Pengendaliannya memberi keselesaan selepas menggunakan suspensi topang MacPherson bagi bahagian depan, manakala belakang dilengkapi alur kilasan.

Kedapan bunyi turut ditingkatkan dengan me­nggunakan penebat bagi mengurangkan kebisingan enjin meresap masuk ke dalam ruang kabin.

Sementara itu, Toyota Alphard generasi kedua yang diperkenalkan di negara ini ditawarkan dalam dua varian iaitu 2.4G dan 3.5G, selain pelanggan boleh memilih empat pilihan warna bagi ruang dalaman.

Jentera itu menggunakan platform baru di mana ruang kabinnya lebih panjang dan lantainya sedikit rendah, tetapi ketinggian melebihi varian generasi pertama.

Ruang kabinnya menerima sentuhan ciri kemewahan dan berkualiti tinggi yang menggunakan material kulit serta panel seperti kayu.

Bagi varian Alphard 2.4G, ia menggunakan enjin 2.4 liter VVT-i dan dipadankan transmisi CVT tujuh kelajuan. Alphard 3.5G pula didatangkan enjin 3.5 liter Dwi VVT-i dengan 24 injap yang menggunakan transmisi enam kelajuan automatik Super ECT.

Harga jualan atas jalan bagi Toyota Previa ialah RM258,000, manakala Alphard 2.4G dan Alphard 3.5G dijual masing-masing pada harga RM338,000 serta RM398,000.

- HM

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply