» » 6 pemilik premis didakwa tiru rekaan tudung Fareeda


Putrajaya: Sepasang suami isteri dan lima lelaki berdepan denda minimum RM2,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali selepas didapati meniru dan menjual rekaan tudung milik Fareeda Global Resources Sdn Bhd (Fareeda).

Semua mereka adalah pemilik enam premis perniagaan yang disiasat dalam dua serbuan berasingan oleh Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Batu Caves dan Klang, Selangor serta sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) Kuala Lumpur pada 20 Mac dan 3 April lalu.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin berkata, pihaknya membuat serbuan di enam premis berkenaan selepas menerima aduan daripada Fareeda yang mendapati rekaan tudung milik syarikat mereka ditiru dan dijual secara berleluasa dalam laman web dan premis perniagaan.

“Dalam serbuan itu, wakil Fareeda turut membantu mengenal pasti rekaan tudung di lokasi kejadian. Antara rekaan tudung ditiru adalah Fareeda Aisya dan Fareeda Mariya yang termaktub di bawah karya grafik yang dilindungi mengikut Akta Hak Cipta 1987.

“Hasil serbuan itu, kita menyita 1,225 tudung dengan nilai rampasan dianggarkan RM77,065 dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(b) Akta Hak Cipta 1987 iaitu mendedahkan atau menawarkan untuk dijual apa-apa salinan langgaran,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mohd Roslan berkata, semua peniaga berkenaan boleh didenda mengikut seksyen sama iaitu denda minimum RM2,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Katanya, KPDNKK tidak teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap premis atau individu yang didapati menjual sebarang produk yang melanggar hak cipta orang lain sama ada secara penjualan di premis atau secara dalam talian.

“Selain itu, KPDNKK menyeru pemilik hak cipta lain untuk tampil membanteras perbuatan tidak beretika ini dan sudah tentu kita mengharapkan kerjasama mereka,” katanya. - HM

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply