» » 109 syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1


KUALA LUMPUR 7 April - Sebanyak 109 syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 bagi membantu kementerian, jabatan dan syarikat kerajaan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mengandungi perkara yang telah diperhatikan hasil daripada pengauditan terhadap 17 program, aktiviti dan projek di bawah 14 kementerian dan jabatan serta pengurusan dua syarikat kerajaan.

"Mulai tahun ini, menteri-menteri telah dimaklumkan tentang laporan yang melibatkan kementerian masing-masing bagi memastikan mereka mengetahui lebih awal isu-isu yang akan dilaporkan serta mengambil tindakan segera," katanya dalam Kata Pendahuluan laporan itu.

Ambrin berkata, pada umumnya, terdapat kelemahan seperti 'improper payment', kerja/bekalan/perkhidmatan tidak mengikut spesifikasi/tidak berkualiti/tidak sesuai; kelewatan dan harga tidak munasabah; pembaziran; kelemahan pengurusan hasil, pengurusan dan penyenggaraan aset kerajaan; ketidakpatuhan terhadap undang-undang alam sekitar serta kelemahan pengurusan syarikat kerajaan.

Beliau berkata, kelemahan itu disebabkan kecuaian dalam mematuhi peraturan/prosedur yang ditetapkan kerajaan; kurang teliti semasa merancang program/aktiviti/projek dan menetapkan skop serta spesifikasi tender dan tidak memantau dengan kerap dan teliti kerja kontraktor/vendor/perunding.

Kelemahan lain termasuk kurang kemahiran dalam pengurusan projek; lewat membuat keputusan mengenai perolehan; sistem maklumat kementerian/jabatan/syarikat kerajaan yang tidak lengkap dan tidak kemas kini; kurang memberi perhatian terhadap keberhasilan/impak sesuatu program/aktiviti/projek dan kekurangan peruntukan untuk penyenggaraan aset. - BERNAMA

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply