» » Neymar ledak hatrik Brazil ratah Afrika Selatan

(Foto/AFP, Alexander Joe)

SOWETO - Neymar mencipta jaringan hatrik bagi membantu Brazil membelasah Afrika Selatan 5-0, sekali gus menamatkan badi kemenangan tipis Selecao ke atas pa­sukan itu dalam perlawanan persahabatan di Stadium Soccer City, semalam.

Perlawanan persahabatan antara pasukan tuan rumah Piala Dunia yang lepas dan akan datang itu mempamerkan persembahan berat sebelah apabila Brazil begitu mudah menembusi pertahanan skuad Bafana Bafana (The Boys).

Oscar meledakkan gol pembukaan pada minit kesepuluh, sebelum Neymar menja­ringkan satu gol pada separuh masa pertama dan dua gol pada babak kedua. Fernan­dinho turut mencatatkan namanya sebagai penjaring gol.

Brazil memenangi empat perlawanan dalam pertemuan kedua-dua pasukan itu sejak 1996, tetapi kesemuanya dengan hanya kelebihan satu jaringan. Dalam pertembungan kali ini, mereka tidak menunjukkan sebarang simpati kepada tuan rumah.

Pertemuan tersebut merupakan perlawanan pemanas badan terakhir sebelum pasukan yang menjadi pilihan merangkul gelaran Piala Dunia 2014 itu mengumumkan skuad 23 pemain untuk Piala Dunia pada Jun ini.

Afrika Selatan yang melakar kejutan ke atas pemenang Piala Dunia dan Euro, Sepanyol menerusi kemenangan 1-0 di stadium sama pada November lalu, tergamam apabila dibelasah Brazil.

Kekalahan tersebut, nampaknya meletakkan Gordon Igesund berdepan dengan risiko kehilangan pekerjaan sebagai jurulatih dan kontraknya mungkin tidak akan disambung pada pertengahan tahun ini.

"Ini merupakan satu kemenangan mudah, tetapi pada babak pertama permainan berlangsung seimbang sebelum gol ketiga kami mematikan semangat Afrika Selatan. Pemain kami sedang berjuang untuk meraih tempat dalam skuad Piala Dunia dan mereka telah mempamerkan permainan yang cemerlang.

"Kami memiliki sebuah pasukan yang bagus dan mereka nampaknya sudah bersedia untuk pertandingan itu," kata penolong jurulatih Brazil yang juga merupakan bekas pengendali Afrika Selatan, Carlos Alberto Parreira. - AFP

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply