» » Komando VAT69 bawa keluar mayat penceroboh



KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu seorang komando VAT69 masuk semula ke Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu pada 22 Mac tahun lalu untuk membawa keluar mayat penceroboh yang ditembak mati 13 hari sebelum itu.

Sarjan Omar Jayus berkata, beliau masuk semula ke kampung itu bersama DSP Abdul Rani Alias dan beberapa anggota untuk menunjukkan mayat lapan penceroboh yang ditembak mati oleh empat pasukan komando VAT69 semasa menjalankan operasi bagi menghalang penceroboh melepaskan diri dari kampung terbabit 6 Mac tahun lalu.

Katanya, mereka masuk semula ke kampung itu pada 2 petang dan mengambil masa tiga jam untuk mengambil dan membawa keluar semua mayat itu.

Ketika menjawab soalan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Omar berkata beliau dan pasukannya yang diketuai Inspektor Shahar Omar, diberitahu mengenai penceroboh lain yang ditembak mati oleh pasukan Inspektor Mazrul Mansor, Inspektor Rosmadi Rosli dan DSP Anwar Rosdi selepas keluar dari kawasan tanggungjawab masing-masing pada 9 Mac.

Menurutnya, anggota pasukan Mazrul memaklumkan sudah menembak seorang penceroboh, manakala pasukan Rosmadi dan pasukan Anwar masing-masing menembak dua penceroboh dan turut memaklumkan lokasi mayat penceroboh.

Omar memberitahu mahkamah pasukannya menembak tiga penceroboh bersenjatakan parang yang bergerak secara tergesa-gesa ke arah pasukannya yang dalam kedudukan 'cut-off' antara 3 hingga 4 petang pada 6 Mac.

Abdul Gani: Adakah anda dan anggota pasukan anda pada bila-bila masa pada hari tersebut memeriksa tiga lelaki yang ditembak itu?
Omar: Apabila keadaan agak selamat, kami pergi melihat dari jarak 20 kaki. Atas faktor keselamatan, kami kembali ke kedudukan 'cut-off'.

Abdul Gani: Apakah tujuan anda pergi melihat tiga lelaki yang anda dan pasukan anda tembak itu?

Omar: Tujuan kami pergi melihat adalah untuk memastikan sama ada mereka masih hidup atau mati.

Saksi ke-14 itu juga berkata jika didapati penceroboh yang ditembak itu masih hidup, beliau dan pasukannya akan memberi bantuan perubatan.

Omar turut memberitahu mahkamah beliau dan anggota pasukannya melepaskan tembakan ke arah penceroboh yang sedang menembak ke arah rakan komando VAT69 di sektor B di Kampung Tanduo pada 1 Mac tahun lalu.

Katanya, dalam insiden kira-kira 10 pagi itu, beliau dan anggota pasukannya diarahkan ketua pasukan Inspektor Rosli Wahab untuk melepaskan tembakan ke arah penceroboh terbabit yang kemudiannya membalas tembakan mereka.

Pada ketika itu, beliau dan pasukannya berada kira-kira 400 meter dari telaga yang menjadi punca bekalan air penceroboh di kampung itu.

"Sebelum pukul 10 pagi, saya terdengar bunyi macam 'hui, hui, hui' dalam bahasa yang saya tidak faham dari sebelah kiri saya.

"Sejurus terdengar bunyi 'hui, hui, hui' itu, saya dengar bunyi tembakan berterusan dari arah sektor B di sebelah kiri saya," katanya.

Ketika ditanya Abdul Gani apakah yang berlaku selepas itu, Omar berkata beliau ternampak 20 hingga 30 penceroboh berlari keluar dari kawasan belakang telaga itu serta parit, kira-kira 500 meter dari kedudukan Omar dan pasukannya.

Abdul Gani: Adakah mereka pergi ke mana-mana?

Omar: Sebahagiannya berlari ikut arah jalan tanah menuju Kampung Tanduo dan menembak ke arah sektor B. Sebahagiannya bertahan di situ (telaga dan parit) dan menghadap ke arah tembakan (di sektor B).

Abdul Gani: Berapa lamakah kejadian tembak menembak ini berlarutan?

Omar: Lebih kurang satu jam.

Abdul Gani: Selepas satu jam tembak menembak, adakah anda dan pasukan anda membuat pemerhatian ke atas kawasan tembak menembak menggunakan teropong jarak jauh?

Omar: Ada buat pemerhatian, tetapi menggunakan teropong biasa. Kami ternampak tiga penceroboh terbaring dan tidak bergerak di tiga tempat.

Kira-kira 8.40 malam pada 3 Mac tahun lalu, ketika membuat pemerhatian menggunakan alat pengimejan haba dari sebuah rumah kongsi kira-kira 800 meter dari telaga itu, Omar berkata beliau ternampak enam hingga tujuh imej tubuh manusia bergerak dari telaga menuju ke arah rumah kongsi pada jarak 600 meter.

Beliau berkata, Rosli mengarahkan beliau dan anggota pasukannya untuk melepaskan tembakan amaran ke tanah kira-kira 200 meter dari rumah kongsi itu.

Apabila beliau melihat alat pengimejan itu semula, beliau mendapati imej enam hingga tujuh orang itu tidak ada.

Tiga puluh tertuduh yang terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan dalam kes ini.

Sesetengah mereka menghadapi tuduhan menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, membawa masuk orang untuk menganggotai kumpulan pengganas atau secara sengaja melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April tahun lalu.

Pendengaran di hadapan hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah, bersambung esok.

- BERNAMA

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply