» » Imam muda berpakaian pahlawan Melayu hadir di Istana Kehakiman

Umat Islam berhimpun di perkarangan Istana Kehakiman sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai penggunaan kalimah Allah hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Suasana di luar bangunan Istana Kehakiman agak berbeza hari ini dengan kemunculan seorang imam muda berpakaian seperti pahlawan Melayu, di tengah-tengah hampir 1,000 orang awam yang berkumpul untuk mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan isu kalimah Allah.

Di mahkamah itu berlangsung prosiding permohonan Gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa penerbitan mingguannya, The Herald dilarang menggunakan kalimah Allah.

Imam muda itu, Mohd Ikhwanruddin Ismail, dari Masjid Al-Hidayah, Bayan Lepas, Pulau Pinang berkata beliau hadir di situ kerana berasa bertanggungjawab terhadap agama dan bagi menyokong Kementerian Dalam Negeri berhubung isu itu.

"Saya hadir demi keutuhan Islam, bukan untuk menunjuk-nunjuk," katanya yang juga bimbang dengan kesungguhan pihak gereja untuk menggunakan kalimah Allah.

Orang ramai mula berada di hadapan bangunan Istana Kehakiman kira-kira jam 7.30 pagi dan ada di antaranya melakukan solat sunat hajat serta membaca surah Yasin.

Antara sepanduk yang mereka bawa tertulis 'Allah Just For Muslim' dan 'Jangan Cabar Kami'.

Beberapa orang awam yang mendakwa menyokong pihak gereja turut hadir dan membawa bunga sebagai sokongan.
Selepas prosiding, Tan Sri Murphy Pakiam yang bertindak memfailkan permohonan bagi pihak gereja, berkata beliau menyerahkan segalanya kepada mahkamah dan berharap ia akan menyebelahi mereka.

Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan berhubung permohonan Gereja Katolik bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguan, 'The Herald' daripada menggunakan kalimah Allah, dalam versi bahasa Melayu terbitannya.

- BERNAMA

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply