» » Pelakon 3 negara dalam Kasih Berbisik



Petaling Jaya: Pelakon terkenal dari Malaysia, Singapura dan Indonesia, akan digandingkan dalam drama Melayu pertama terbitan bersama Media Prima Berhad (Media Prima) dan MediaCorp Pte. Ltd (MediaCorp) Singapura berjudul Kasih Berbisik.

Keith Foo, Nora Danish dan Tasha Shila, akan beraksi bersama Hisyam Hamid dan Nurul Aini dari Singapura serta Isti Ayu Pratiwi dari Indonesia dalam drama 13 episod arahan Jamal Khan yang akan menjalani penggambaran pada April depan di ketiga-tiga negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar, berkata drama itu menjadi permulaan jalinan kerjasama antara kedua-dua syarikat dalam penerbitan drama Melayu selepas bekerjasama dalam penerbitan beberapa drama Mandarin dan program berbentuk majalah.

Penggambaran ambil masa 4 bulan


“Kita ada syarat dari segi pemilihan pelakon untuk menaikkan rating tontonan. Penggambaran akan bermula di Bali, Indonesia pada awal April ini sebelum di Malaysia dan Singapura yang akan mengambil masa empat bulan.

“Bukan sekadar jalinan dari segi penerbitan program mahupun drama, malah kedua-dua syarikat turut berurusan dari segi penjualan barangan demi mengukuhkan lagi hubungan yang sekian lama terjalin,” katanya.

Ahmad Izham yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd berkata demikian selepas menandatangani perjanjian penerbitan drama itu di Sri Pentas di sini, semalam. Pada majlis itu, MediaCorp diwakili oleh Pengarah Urusan MediaCorp Studios, Doreen Neo.

Kerjasama itu juga bertujuan mengambil peluang di atas keupayaan produksi kedua-dua pihak bagi merangsang usaha untuk memacu perkembangan industri berkenaan di kedua-dua negara.

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply