
Kuala Lumpur: Lapan universiti tempatan tersenarai antara 200 institusi pengajian tinggi (IPT) terbaik dalam Penarafan Universiti Dunia QS berasaskan subjek.
Senarai terbaharu itu diumumkan dalam laman web www.TopUniversities.com semalam.
IPT berkenaan ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang turut tersenarai dalam kelompok sama tahun lalu.
Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Multimedia (MMU) menjadi dua lagi IPT tempatan baharu tersenarai dalam kelompok atas penarafan yang membabitkan penilaian dalam 30 bidang pengajian itu.
USM tempat ke-28
USM meraih penarafan terbaik dalam kalangan IPT tempatan di tempat ke-28 dalam bidang sains alam sekitar. Universiti Apex itu turut tersenarai dalam kelompok 100 IPT terbaik bagi bidang sains komputer dan sistem maklumat, kejuruteraan kimia, kejuruteraan awam serta kejuruteraan mekanikal.
UM pula berada dalam kelompok 100 universiti terbaik bagi enam bidang iaitu bahasa moden, sains komputer dan teknologi maklumat, kejuruteraan kimia, kejuruteraan elektrikal, kejuruteraan mekanikal dan pendidikan.
UPM tersenarai dalam kelompok 100 terbaik bagi bidang pertanian dan perhutanan serta pendidikan, manakala UKM dalam bidang politik dan pengajian antarabangsa serta pendidikan.
Ketua Penyelidik QS, Ben Sowter, berkata keputusan penarafan itu membuktikan universiti di negara ini menawarkan pengajian bertaraf dunia dalam bidang tertentu.
“Penarafan yang mengkhususkan kepada subjek ini menonjolkan kelebihan IPT di Malaysia dalam penawaran bidang pengajian berkaitan, berbanding penarafan institusi yang membabitkan penilaian banyak faktor lain, ” katanya menerusi kenyataan media di sini semalam.
Peningkatan kualiti
Secara keseluruhan, keputusan penarafan itu menunjukkan peningkatan kualiti pengajian bidang kejuruteraan dalam kalangan universiti Asia, terutama National University of Singapore yang berada dalam kelompok 10 universiti terbaik dalam kelima-lima bidang kejuruteraan dan teknologi dinilai dalam penarafan itu.
Universiti Harvard, Amerika Syarikat kekal tempat pertama penarafan itu dalam 11 bidang pengajian.
- BH
No comments: