» » Kuasa ampuh tiga sahabat


INGATAN peminat terhadap tiga penyanyi dan pelakon popular ini masih belum pudar biar sudah dua dekad fenomena Sembilu yang menemukan mereka di dalam satu filem.

Bait-bait dialog serta lagu-lagunya terus segar di ingatan dan magis itu terus melekat kepada Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain.

Walaupun masing-masing telah membawa haluan sendiri selepas fasa berkenaan, tidak dapat dinafikan populariti dan kuasa mereka di dalam mewarnai kehidupan para peminat setia amat besar.

Awie tidak pernah menghilangkan diri. Jika tidak menyanyi solo mahupun bersama Wings, dia masih laku dan menjadi tunjang utama beberapa buah filem tempatan.

Begitu juga dengan Erra. Kejelitaan ibu kepada seorang anak ini masih tiada tara. Erra juga bertahan dan meneruskan legasi seninya sebagai pelaris filem dan kini berjaya di dalam bidang pengacaraan.

Sementara Ziana pula, meskipun keutamaan lebih kepada empat cahaya mata yang sedang membesar, dia masih menjadi permata di dalam industri. Jadual persembahan masih kencang membuktikan dia masih berpengaruh.

Kini mereka bergabung semula merealisasikan Konsert Teaterikal Suara Kita (KTSK) yang bakal diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 3 hingga 9 Mac depan.

Keyakinan Erra Fazira


TIDAK menganggap pertemuan ini akan membuka kisah lama mereka, Erra menaruh keyakinan KTSK ini bakal meninggalkan sejarah kepada industri hiburan tanah air.

"Rasanya semua tahu cerita di antara saya dan Awie sebelum ini. Kalau tanya apa jadi, saya sendiri sudah menganggap tak ada isu antara kami pun sebenarnya. Masing-masing sudah dewasa dan ada keluarga sendiri.

"Rasa gugup dan gementar di atas pentas boleh dibuang jauh-jauh memandangkan kami pun ada buat latihan. Jadi tak ada masalah untuk saya berhadapan dengan Awie.

"Mungkin ada banyak kejutan atau adegan lama yang saya nak kembalikan semula," cerita Erra pula.

Malah dia menyifatkan gabungan tiga sahabat ini sebagai simbolik kepada penyatuan mereka sejak awal kemunculan dulu.

Dia masih ingat ketika filem Sembilu dan Maria Mariana menjadi hits apabila segala tumpuan media diberikan kepada mereka bertiga tanpa putus-putus.

Kenangan itu juga kekal apabila rangkaian lagu-lagu seperti Pasrah, Yang Terindah Hanya Sementara dan Pertemuan terus diputarkan sehingga hari ini.

Rezeki Ziana Zain

"JIKA tak kena masa tak mungkin saya akan menerima tawaran ini. Mujur tawaran ini datang di saat anak-anak semakin membesar," luah Ziana mengenai kolaborasinya di dalam KTSK.

Sejak berkeluarga Ziana memberikan tumpuan seratus peratus kepada keluarga semata-mata. Hanya ada kelapangan barulah dia bersetuju untuk mengadakan persembahan pentas.

"Beberapa tahun lalu Awie pernah berjanji kepada saya nak buat konsert ini. Ingatkan tak jadi tapi nampaknya rezeki memang berpihak kepada saya.

"Masa anak masih kecil saya memang tak akan berkompromi di dalam soal ini. Tak ada show pun tak apa asalkan saya tak meninggalkan mereka di rumah," jelasnya lagi.

Walaupun hanya keluar sekali sekala di kaca televisyen langsung tidak memudarkan kuasa dan impak Ziana sebagai penyanyi disegani.

Buktinya permintaan untuk mendapatkan penyanyi yang popular dengan lagu Kemelut Di Muara Kasih ini sentiasa ada meskipun sering terhalang dek kekangan masa.

"Saya bangga kerana masih ada permintaan buat penyanyi macam saya. Walaupun sudah berusia tapi orang masih nak dengar lagu-lagu saya. Tak semua orang rasa perkara macam ini.

"Sama juga hal kami bertiga. Masing-masing tak pernah hilang sejak 20 tahun lalu. Ada sahaja permintaan untuk Awie dan Ziana sampai hari ini," katanya.

Awie pening kepala

MENYIFATKAN KTSK sebagai cabaran paling besar di dalam kerjaya seninya, Awie tidak menafikan 2014 merupakan tahun untuknya melangkah setapak ke hadapan.

Jika sebelum ini dia banyak terlibat dengan konsert anjuran pihak lain tetapi kali ini dia sendiri yang menguruskan persembahan melalui syarikatnya, Awie Entertainment Sdn. Bhd.

"Dulu saya hanya menyanyi. Tak pernah fikir soal lain. Tapi sekarang banyak perkara yang saya kena buat untuk melicinkan kerja-kerja yang ada.

"Sejujurnya saya memang penat dari segi mental dan fizikal. Tapi ini projek pertama syarikat dan saya kena membuktikan kemampuan diri," tegasnya.

Enggan mendedahkan jumlah sebenar kos keseluruhan, Awie menegaskan perkara berkenaan bukan keutamaan untuk dihebahkan sebaliknya dia mahu peminat datang dan berhibur mengembalikan nostalgia.

"Ini bukan konsert semata-mata tetapi kita menyelitkan usur dramatik. Kita sudah ada senarai lagu dan corak persembahan.

"Paling tidak orang dapat melihat sendiri hubungan di antara saya dan Erra. Masing-masing dah ada keluarga dan mempunyai kebahagiaan sendiri.

"Kisah kami dulu sudah jadi sejarah dan sekarang bukan lagi masa untuk mengenang apa yang terjadi. Cuma pertemuan di atas pentas itu nanti yang perlu mereka saksikan untuk melihat kesudahan cerita kami," jelas Awie. - Utusan

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply