KANGAR 24 Feb. - Rakyat bakal menikmati harga ikan lebih murah menerusi kerjasama strategik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang membolehkan nelayan menjual terus hasil tangkapan mereka.
Pengerusi LKIM, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, menerusi kerjasama ini, FAMA akan menyediakan tapak khusus kepada Persatuan Nelayan di kesemua 520 pasar tani kendalian agensi berkenaan.
"Pemeteraian kerjasama strategik ini bertujuan menghapuskan peranan orang tengah ke arah meningkatkan pendapatan nelayan selain menjadi kayu pengukur penentuan harga ikan oleh LKIM.
"Pendekatan ini selaras Strategi Lautan Biru kerajaan dalam bidang subsektor perikanan bagi membantu rakyat menangani kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup," katanya kepada pemberita selepas perasmian program turun padang pengurusan tertinggi LKIM yang disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail hari ini.
Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan melakukan upacara pecah tanah Pasar Nelayan Sungai Baru Selatan dan menyerahkan elaun sara hidup bulan Februari kepada 272 nelayan serta bantuan awal persekolahan.
Irmohizam berkata, sebuah jawatankuasa khas pelaksana bagi menjayakan pendekatan itu diwujud membabitkan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Persatuan Petani Kebangsaan (Nafas). - BERNAMA
No comments: