PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Wira Salleh Mat Rashid menegaskan penggunaan kayu sepanduk diharamkan di dalam stadium.
"Batang kayu yang digunakan di sepanduk ataupun bendera tidak boleh dibawa masuk ke stadium kerana ia boleh digunakan sebagai senjata," jelasnya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan FAM Kali pertama pada Rabu.
Salleh yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam berkata, pihak polis dan FAM akan terus bekerjasama dalam memastikan ketenteraman dan keharmonian bola sepak negara terjamin.
"Kami berbincang dan akan memberi fokus kepada perlawanan-perlawanan berisiko tinggi yang boleh menjejaskan keselamatan dan cuba menghindarinya.
"Sebab itu saya jelaskan bahawa semua pihak perlu bekerjasama ketika berada di dalam stadium.
"Namun setakat ini mereka mematuhi arahan yang dikeluarkan dan hanya segelintir yang berlaku. Kami juga ada berbincang untuk menambah kamera litar tertutup (CCTV) di stadium bagi memantau lebih dekat lagi kejadian-kejadian yang tidak diingini.
"Pihak polis juga akan menggunakan kamera sendiri untuk memantau keadaan di stadium yang boleh menjejaskan keharmonian perlawanan," katanya.
Dalam pada itu Salleh menegaskan penggunaan suar juga adalah menyalahi undang-undang.
"Sebelum ini kami ada menangkap mereka yang membakar suar di stadium dan didakwa. Perkara ini akan diteruskan kerana penggunaan suar adalah salah.
"FAM juga telah mengambil tindakan terhadap kes ini, dan mungkin hukuman yang dikenakan itu belum cukup tegas. Sebab itulah dari masa ke masa kami akan cuba memperbaiki peraturan yang ada bagi memastikan penggunaan suar tidak berlaku lagi," tambahnya.
- Mstar
No comments: