» » Desailly, Villas-Boas, Doohan bakal ke ibu negara

 (Foto/fedenerazzurra)

KUALA LUMPUR - Tiga tokoh sukan ternama dunia dijangka berkunjung ke Malaysia pada hujung bulan ini bagi mengumumkan calon-calon pemenang Anugerah Sukan Dunia Laureus 2014 yang akan berlangsung pada 26 Mac ini di Istana Budaya.

Tokoh-tokoh sukan yang dimaksudkan ialah pemenang Piala Dunia dari Perancis, Marcel Desailly, bekas jurulatih Tottenham Hotspur, Andre Villas-Boas dan juara dunia lima kali kejuaraan motosikal dunia, Mike Doohan.

Ketiga-tiga personaliti tersebut bakal mengumumkan nama keenam-enam olahragawan, olahragawati dan pasukan yang cemerlang dalam tujuh kategori berbeza yang dipilih menerusi undi rahsia oleh media dari seluruh dunia.

Tujuh kategori tersebut ialah Atlet Lelaki Terbaik Dunia Laureus, Atlet Wanita Terbaik Dunia Laureus, Pasukan Terbaik Dunia Laureus, Anugerah Cemerlang Dunia Laureus, Anugerah Kemunculan Semula Dunia Laureus, Anugerah Kesukanan Dunia Laureus untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan Anugerah Aksi Kesukanan Dunia Laureus.

Pengumuman tersebut akan dibuat pada Rabu minggu depan di ibu negara, sebulan sebelum acara penyampaian Anugerah Sukan Dunia Laureus Ke-15 dilangsungkan.

Anugerah Laureus yang mengiktiraf pencapaian atlet bagi tahun 2013, merupakan acara penghormatan terulung dalam kalendar sukan antarabangsa. Para pemenang yang dipilih oleh Akademi Sukan Dunia Laureus terdiri daripada 46 olahragawan dan olahragawati handalan dunia.

Duta Laureus yang juga legenda skuasy Malaysia, Datuk Nicol David melahirkan rasa teruja dan bangga apabila anugerah berprestij itu bakal diadakan di negara ini.

"Saya yakin Kuala Lumpur mampu menjadi tuan rumah yang hebat bagi majlis penyampaian anugerah ini. Rakyat Malaysia amat menggemari sukan, dan saya berani berjanji bahawa Malaysia akan mengalu-alukan kedatangan anda dengan penuh mesra.

"Anugerah Sukan Dunia Laureus adalah antara acara terunggul dan Laureus telah melaksanakan pelbagai usaha hebat di seluruh dunia untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Sebagai Duta Laureus, saya berharap kami akan dapat mewujudkan beberapa program di Malaysia untuk golongan muda," kata juara dunia tujuh kali itu.

Sementara itu, Pengerusi Akademi Sukan Dunia Laureus, Edwin Moses berkata, anugerah tersebut buat kali pertama akan diadakan di Asia Tenggara dan usaha itu nampaknya benar-benar memberi kesan positif yang diyakini mampu membantu menyampaikan mesej Laureus ke seluruh dunia.

"Saya amat gembira majlis anugerah ini akan diadakan di Kuala Lumpur. Perkembangan ini amat memberangsangkan kerana kami yakin mesej Laureus dapat disampaikan ke rantau yang baharu pula," jelasnya.

Antara atlet yang pernah merangkul anugerah tersebut ialah Sebastian Coe (olahraga, Britain), Novak Djokovic (tenis, Serbia), Roger Federer (tenis, Switzerland), Alex Ferguson (bola sepak, Scotland), Lewis Hamilton (Formula Satu, Britain), Rafael Nadal (tenis, Sepanyol), Pele (bola sepak, Brazil), Michael Phelps (renang, Amerika Syarikat), Steve Redgrave (mendayung, Britain), Ronaldo (bola sepak, Brazil), Michael Schumacher (Formula Satu, Jerman), Kelly Slater (peluncur air, Amerika Syarikat), dan Zinedine Zidane (bola sepak, Perancis).
- kosmo

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply