» » Ingkar PTPTN tidak disenarai CCRIS



KUALA LUMPUR 26 Nov. - Kerajaan tidak bercadang menyenaraikan peminjam yang gagal membayar balik hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS).

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, nama peminjam PTPTN yang ingkar itu juga tidak akan disenaraikan dalam agensi rujukan kredit, Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS).

“Tindakan penguatkuasaan seperti saman dan menyenarai hitam di Jabatan Imigresen adalah sebagai langkah terakhir dalam memberi peringatan kepada peminjam tegar," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Su Keong Siong (DAP-Ipoh Timor) yang bertanyakan adakah kerajaan mempunyai rancangan menyenarai hitam pelajar-pelajar yang gagal membayar balik hutang PTPTN di bawah sistem CCRIS dan CTOS.

Menurut Mary Yap, sehingga 30 Oktober 2013, sebanyak RM4.8 bilion adalah jumlah tunggakan oleh seramai 435,148 peminjam PTPTN yang tidak pernah membuat bayaran balik dan tunggakan peminjam yang dibenarkan membayar ansuran lebih rendah daripada ansuran sebenar.

Jelasnya, tindakan penguatkuasaan akan diambil selepas lima notis peringatan dihantar kepada peminjam atau 16 bulan selepas tamat pengajian.

“Tindakan tersebut diambil bagi meningkatkan tahap kesedaran, kefahaman dan kebertanggungjawaban rakyat terhadap keperluan pembayaran semula pinjaman PTPTN ini," katanya.

Sementara itu, Mary Yap berkata, mulai 2012, pelantikan dan penempatan graduan pendidikan daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) sebagai guru tidak lagi dibuat secara automatik dan tiada lagi lantikan secara sandaran.

Katanya, isu kelewatan penempatan baharu tidak timbul kerana semua graduan pendidikan perlu menjalani prosedur pelantikan dan penempatan yang telah ditetapkan.

“Bakal guru hanya akan ditempatkan ke sekolah-sekolah setelah mereka lulus temu duga dan diperakui oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

“Secara umumnya, Kementerian Pendidikan tidak menjanjikan penempatan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan IPTA kerana sebahagian besar daripada mereka bukan ditaja kementerian dan tiada sebarang ikatan perjanjian dengan kementerian," katanya.

Beliau menjawab soalan Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) yang bertanyakan mekanisme kerajaan mengatasi kelewatan penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di IPTA dan IPG ke sekolah sejak akhir-akhir ini. - Utusan

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply