» » SSM bubar 20,000 perniagaan setahun


KUALA PILAH 14 Dis. - Kira-kira 20,000 perniagaan dan 1,500 syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dibubarkan setiap tahun.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, antara faktor yang mendorong kepada pembubaran itu ialah tidak mengemukakan penyata kewangan tahunan, melakukan kesalahan perniagaan, tidak aktif dan kematian.

“Kita mengetatkan undang-undang ini semata-mata untuk melihat suasana perniagaan di negara kita berada dalam keadaan yang cukup terkawal dan harmoni. Jadi pengguna, peniaga dan kerajaan berada dalam keadaan situasi ‘menang-menang.’

“Kita juga akan melihat sekiranya ada kelemahan undang-undang untuk diperbaiki dan dipinda,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program SSM Bersama Masyarakat Kuala Pilah di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Zahrah Abd. Wahab Fenner.

Dalam pada itu, Hasan memberi*tahu, 5.6 juta perniagaan dan 1.1 juta syarikat dari seluruh negara telah berdaftar dengan SSM sehingga 30 November lalu.

Katanya, pada setiap bulan, dianggarkan 27,000 perniagaan yang terdiri daripada persendirian dan perkongsian telah mendaftar di bawah Akta Syarikat 1965 manakala bagi syarikat pula sebanyak 3,500.

Jelas beliau, pihaknya melalui SSM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai berkaitan faedah dan kepentingan mendaftarkan perniagaan termasuk melalui program bersama masyarakat yang diadakan hari ini. - utusan

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply