» » Kejatuhan nilai ringgit bantu pulih ekonomi


LEDANG 14 Dis. - Kejatuhan nilai ringgit dijangka menarik lebih ramai pelabur ke negara ini kerana nilai mata wang tersebut yang rendah berpotensi meningkatkan keuntungan mereka sekali gus membantu memulihkan ekonomi negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri yakin pelaburan baharu akan berterusan ditambah pula dengan keupayaan Malaysia yang masih mampu menawarkan suasana pelaburan kondusif di rantau ini.

Kerajaan melalui kementerian kini dalam usaha menggalakkan dan memberi fokus kepada pembangunan peningkatan kualiti produk tempatan supaya setanding produk luar negara.

“Kualiti yang baik membolehkan lebih banyak produk dieksport ke pasaran antarabangsa. Peluang ini, dalam keadaan nilai ringgit turun boleh bantu pulih ekonomi negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Berkhatan Anak-anak Asnaf di Masjid Bandar Tangkak, di sini hari ini.

Yang turut hadir Kadi Daerah, Zaini Mohd. Salleh; Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abd. Rahim Talib dan Pengerusi Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) daerah, Zabidin Ahmad.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, penurunan nilai ringgit dipengaruhi kejatuhan harga minyak dunia termasuk komoditi mentah seperti getah dan kelapa sawit sejak kebelakangan ini.

Dalam menghadapi kejatuhan ringgit, Hamim meminta rakyat supaya tidak panik dengan keadaan itu yang sememangnya tidak boleh dikawal namun yakin tindakan agresif kerajaan akan dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Beliau berkata, selain pelaburan, kejatuhan ringgit juga boleh memberi kesan positif terhadap sektor pelancongan negara ini.

“Apabila barang murah dapat galak lebih ramai pelancong datang ke negara ini. Sebagai contoh, pelancong Singapura tertarik datang ke negara ini kerana nilai ringgit lebih murah berbanding dolar Singapura,” katanya. - utusan

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply