» » Siapa menteri paling aktif di media sosial?


SHAH ALAM - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein adalah menteri paling aktif menggunakan media sosial bagi berhubung dengan rakyat.

Sejak menyertai laman sosial Twitter pada April 2010, beliau kini telah menulis atau berkongsi lebih 38,100 status, atau purata 680 status sebulan dengan 706,000 pengikutnya.

Ini diikuti Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dengan purata 583 status sebulan dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menulis purata 494 status sebulan.

Hishammuddin juga dilihat aktif di laman sosial Facebook dengan purata enam hingga tujuh status setiap hari dan jumlah pengikut lebih 340,000 orang.

“Sekarang ini zaman sudah berubah, susah untuk kita berhubung dengan semua orang (secara fizikal). Sebab itu kita kena gunakan media sosial untuk bawa mesej kita.

“Pengalaman saya sendiri, bermula dengan tweet pertama saya, sekarang ini sudah ada 700,000 lebih (pengikut), bukan sahaja di Malaysia tetapi dari luar negara pun ada. Itu aspek positif media sosial,” kata Hishammuddin apabila ditanya mengenai pilihan beliau untuk menggunakan media sosial secara meluas.

Hishammuddin yang kelihatan ceria semasa bercerita mengenai media sosial juga berkata, melalui medium komunikasi baharu itu, beliau menyedari ramai rakyat ingin mengenalinya dengan lebih dekat.

“Saya juga dapat berhubung dengan lebih ramai orang berbanding kalau kita jumpa setiap seorang (di dunia nyata). Itu yang saya suka.

“Tetapi ada juga orang yang sanggup dan boleh gunakan media sosial untuk memecahbelahkan, contoh apabila mereka guna isu sensasi membabitkan agama, bangsa. Itu yang saya tak berapa gemar,” katanya.


Media sosial kurangkan kos komunikasi

Sementara itu, sesuai dengan portfolionya, Khairy juga antara pengguna tegar media sosial, alat komunikasi pilihan orang muda, dalam kalangan menteri di Malaysia.

Walaupun mempunyai jumlah pengikut di Facebook seramai lebih 826,000 orang, beliau dilihat lebih gemar berkomunikasi melalui laman blog mikro Twitter.

Khairy yang bagaikan selebriti dalam dunia Twitter mempunyai jumlah pengikut 813,000 orang sejak menyertai laman sosial itu pada Januari 2009 dan sehingga kini telah menulis atau berkongsi 41,400 status.

Khairy juga antara ahli politik dan menteri yang menyedari kuasa media sosial.

“Perkara yang paling saya suka dalam media sosial ialah saya dapat berkomunikasi secara terus dan mendapat maklum balas serta-merta daripada rakyat.

“Ia cepat dan sangat berkesan, tidak memerlukan kos, tak payah ambil iklan, tak payah buat kempen besar-besaran yang menelan perbelanjaan tinggi dan tiada jurang antara saya dengan orang ramai,” katanya ketika ditanya mengapa beliau memilih media sosial sebagai platform utama untuk berkomunikasi dengan rakyat.

“(Tetapi) apa yang saya tak suka (mengenai media sosial) ialah kadang-kadang apabila kita berdepan masalah sudah pasti banyak kritikan juga boleh datang terus kepada kita,” tambahnya sambil ketawa.

Selain Hishammuddin dan Khairy, Abdul Rahman juga antara pemimpin paling aktif di media sosial.

Sejak menyertai Twitter pada April 2009, beliau telah memuat naik lebih 35,100 status dan mempunyai 50,700 pengikut.

Ketiga-tiga menteri ini dilihat begitu popular di laman sosial kerana pendekatan dan gaya bahasa mereka yang bersahaja serta ‘kerajinan’ mereka bersembang dengan rakyat.

Namun pastinya tiada menteri dapat menandingi pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Najib Tun Razak dari segi jumlah pengikut, apabila beliau mempunyai lebih 2.24 juta pengikut di Twitter dan lebih 2.73 juta di Facebook.

Tetapi jumlah status dimuat naik Najib di Twitter hanya purata 102 sebulan sejak beliau menyertai laman sosial itu pada September 2008, dan jumlah status di Facebook pula purata tiga setiap hari.

Ada juga menteri yang lebih aktif di Facebook, seperti Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang memuat naik lebih 10 status setiap hari.

Beliau diikuti oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan empat hingga lima status sehari yang dikongsi dengan lebih 303,000 pengikutnya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga antara menteri yang aktif memuat naik status atau gambar di Facebook dan Twitter masing-masing.


Politik media sosial, politik baharu

Penggunaan media sosial oleh menteri bukan sekadar suka-suka seperti rakyat biasa, sebaliknya ia mempunyai kesan kepada populariti dan survival politik mereka.

Penyelaras Program Siswazah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Khairie Ahmad berkata, penggunaan media sosial sebagai medium untuk berhubung dengan rakyat adalah fenomena baharu dalam dunia politik di Malaysia yang mula bercambah sejak PRU13.

Katanya, media sosial kini menjadi medan pembinaan imej ahli politik dan menteri.

“Dulu kita ada hubungan dengan orang politik apabila dia turun padang jumpa masyarakat.

“Tetapi di Malaysia, pembangunan pesat menyebabkan pekan yang dahulunya kecil sekarang sudah jadi bandar besar, tak mungkin menteri dapat turun ke semua tempat dengan kesibukan tugas mereka.

“Jadi media sosial dapat kurangkan jurang dengan rakyat kerana mereka boleh guna media sosial untuk sampaikan maklumat terus dan memupuk hubungan dengan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, menteri juga perlu faham penggunaan media sosial tidak sepatutnya dibuat atas kapasiti peribadi dan bukan tempat untuk mereka berucap bagi mendapatkan populariti politik.

“Tetapi ia mesti digunakan dengan dasar bahawa mereka ini seseorang yang berkhidmat kepada masyarakat. Jika mereka ingat asas ini, mereka dapat elak sentimen politik keterlaluan dalam media sosial,” katanya.


Uji tahap profesionalisme menteri

Menurut Mohd Khairie, media sosial juga menguji tahap profesionalisme pemimpin.

“(Menteri) perlu ada profesionalisme tinggi sebab melalui media sosial, mudah masyarakat buat provokasi. Ini membuatkan ada ahli politik yang melatah dan boleh beri imej buruk (kepada seseorang menteri),” katanya.

Ini diakui oleh Hishammuddin dan Khairy yang sedar ada cara tertentu perlu digunakan oleh menteri apabila berdepan dengan provokasi rakyat.

“Kita kena terima kutukan dan kritikan dalam media sosial, sama ada ikhlas atau tidak. Kadang-kadang ada yang sengaja provokasi, selepas beberapa lama guna media sosial, kita akan tahu siapa yang benar-benar ikhlas kritik dan siapa yang sengaja nak provokasi.

“Kalau yang sengaja tu, saya tak layanlah. Kalau benda yang betul-betul munasabah, saya layan,” kata Hishammuddin.

Khairy pula berkata, beliau tidak melayan setiap komen provokasi yang dihantar ke laman sosialnya.

“Kita kena hati-hati, jangan kita balas setiap (komen). Saya rasa kalau soalan (yang dikemukakan kepada menteri melalui media sosial) adil dan kalau kita semak, orang yang bertanya itu berniat baik, okay lah.

“Tetapi kalau kita boleh tengok dia punya sejarah dan dia memang jenis yang selalu cuba perangkap ahli politik, kita tak payah layanlah sebab memang ada orang yang buat begitu,” kata Khairy, berkongsi pengalaman menggunakan media sosial.

Langkah terbaik untuk menteri menangani provokasi di laman sosial ialah secara tertutup, iaitu dengan menghubungi individu yang membuat provokasi secara terus melalui mesej peribadi, kata Mohd Khairie.

“Kadang-kadang orang yang provokasi menteri ini nak perhatian, jika ditangani secara tertutup, bukan sahaja elak imej buruk kepada menteri malah dapat meningkatkan rasa hormat kepada pemimpin.

“Saya rasa Hishammuddin agak berhemah dalam media sosial, profesional dan bijak elak provokasi,” katanya apabila ditanya mengenai menteri yang dilihat berjaya menggunakan media sosial dengan baik.- SH

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply