» » Syarikat tidak ternama tawar RM8.75 bilion selamatkan MAS


Sebuah syarikat yang tidak begitu dikenali, Jentayu Danaraksa Sdn Bhd membuat cadangan bernilai RM8.75 bilion untuk memulihkan Malaysia Airlines (MAS), dengan berkata mereka boleh menyelamatkan 6,000 pekerjaan yang kini terpaksa diberhentikan.

Syarikat itu berkata, cadangan yang akan didedahkan hari ini termasuk penjualan dan pembelian balik kapal terbang digunakan penerbangan nasional itu yang kini dimiliki Khazanah Nasional Bhd dan sedang disusun semula dengan nilai RM6 bilion.

"Cadangan ini termasuk pertimbangan kewangan sehingga RM8.75 bilion (AS$2.5 bilion) dengan tawaran termasuk Khazanah Nasional menjadi rakan kongsi dalam JD Leading, sebuah syarikat penerbangan baru selepas pengambilan Penerbangan Malaysia Bhd (PMB), melalui satu pemberian syer strategik dalam JD Leasing tanpa kos," kata Pengarah Urusan Jentayu Feriz Omar yang disiarkan dalam akaun Facebooknya.

"JD Leasing mengenal pasti rakan strategik dengan prestasi yang terbukti dalam pajakan pesawat global dan perniagaan.

"JD Leasing berjanji untuk membayar sehingga RM5.25 bilion (AS%1.5 bilion) untuk memperoleh pesawat MAS melalui jualan dan pajakan balik, perjanjian dengan pengurusan MAS Newco tertakluk kepada terma dan syarat untuk dipersetujui, termasuk jenis pesawat, umur dan nilai sisa," katanya dalam kenyataan itu.

Ia berkata JD Leasing juga akan berusaha membiayai semula RM3.5 bilion (AS$1 bilion) bon yang dikeluarkan PMB, yang akan matang pada 2016, dan menjanjikan syarikat penerbangan bermasalah itu "kadar istimewa" jika mereka memajak pesawat daripada mereka.

"Jentayu Danaraksa berusaha untuk menyokong MAS di bawah polisi Langit Terbuka Asean yang akan bermula pada 2015 dengan cara membawa penumpang ke destinasi yang belum diberikan khidmat olehnya.

"Dengan mengambil kira semua ini, kami percaya kerajaan hanya perlu menyuntik kurang daripada RM6.0 bilion yang diperuntukkan di bawah pelan 12-perkara," katanya.

Syarikat itu dijangka mengadakan sidang media petang ini untuk mendedahkan cadangan RM8.5 bilion itu, berjanji untuk menyelamatkan pekerjaan yang dijadualkan akan dipotong sebagai langkah pengurangan kos untuk menyelamatkan syarikat penerbangan yang dilanda dua bencana berasingan tahun ini.

Menurut laporan berita, Jentayu adalah sebuah firma penasihat kewangan, yang baru ditubuhkan baru-baru ini dan dipengerusikan bekas Pengarah Urusan MAS Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

MAS akan dijadikan syarikat persendirian oleh Khazanah, yang memiliki lebih 69% sahamnya. Terdahulu pada Ogos, ia mengumumkan rancangan membeli saham yang bukan miliknya pada 27 sen bagi setiap saham, berjumlah hampir RM1.4 bilion, untuk mengambil alih syarikat penerbangan bermasalah itu.

Mei lalu, syarikat penerbangan itu dilaporkan mengalami kerugian suku tahunan terbesar untuk lebih dua tahun, dilanda kejatuhan mendadak jumlah penumpang selepas apa yang dipanggil "kesan dramatik" apabila kehilangan penerbangan MH370 pada Mac.

Kerugian bersih MAS itu meningkat kepada RM443.4 juta pada suku pertama, daripada kerugian bersih sebanyak RM278.8 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Ini menjadikan ia syarikat penerbangan yang mengalami kerugian suku tahun terburuk sejak Oktober - Disember 2011.

MAS rugi sepanjang tiga tahun lalu, akibat kenaikan kos dan persaingan sengit.

Pelan penyusunan semula bakal melibatkan penamatan sehingga 6,000 pekerja, bertujuan mengembalikan keuntungan syarikat penerbangan itu.

Khazanah baru-baru ini melantik Christoph R Mueller sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) kepada syarikat yang sedang dibentuk, Penerbangan Malaysia Bhd (MAS Newco), berkuatkuasa 1 Januari tahun depan. – 15 Disember, 2014. - TMi

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply