» » Kes godam ATM gemparkan pemilik akaun bank


KUALA LUMPUR - Tahun ini negara digemparkan dengan kes penggodaman 17 buah mesin juruwang automatik (ATM) di ibu negara, Selangor, Melaka dan Johor Baharu membabitkan kerugian lebih RM3 juta.

Ada sindiket yang dipercayai terlibat terdiri daripada warga Amerika Latin yang dikesan pada September lepas.

Kes berkenaan membuka mata banyak pihak mengenai keperluan tahap keselamatan sistem perbankan bukan sahaja ditumpukan kepada kad-kad bank malah sistem mesin ATM.

Ini kerana jenayah siber jenis baharu itu mencetuskan kebimbangan kira-kira 15 juta pemilik akaun bank di negara ini, yang khuatir dengan keberkesanan sistem keselamatan institusi perbankan dalam melindungi kepentingan pemilik akaun.

Kejadian penggodaman mesin ATM itu merupakan jenayah pertama berlaku di negara ini selepas jenayah mencuri wang melalui pengklonan kad ATM yang berlaku sejak 1997 hingga 2002, kerana kad ATM dan kad kredit hanya menggunakan sistem pita magnetik di belakang kad pada ketika itu.

Bagaimanapun jenayah pengklonan itu berjaya diatasi selepas Bank Negara menguatkuasakan penggunaan sistem cip dan pita magnetik pada setiap kad ATM pada 2003.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mortadza Nazarene memberitahu Bernama bahawa jenayah terancang yang dikaitkan dengan kumpulan sindiket itu dikenal pasti menggunakan kaedah menyuntik virus malware 'ulssm.exe' sebelum memasukkan cakera padat (CD) ke dalam pembaca cakera padat (CD-ROM) yang terdapat di dalam mesin-mesin itu untuk mengeluarkan wang.

Kaedah itu digunakan bagi menipu sistem pengkomputeran bank sebelum mengeluarkan kesemua wang dalam ATM itu menggunakan panel kekunci dengan memasukkan kod tertentu yang diterima melalui panggilan telefon daripada rakan anggota sindiket itu, namun data pelanggan bank berkenaan tidak diganggu atau dikompromi.

Susulan jenayah godam itu, polis melancarkan 'Ops Godam ATM' melibatkan pasukan khas daripada polis Bukit Aman dan polis kontinjen negeri untuk memburu penjenayah berkenaan secara besar-besaran, termasuk membuat pemantauan di setiap pintu masuk negara sama ada melalui jalan darat, laut dan udara.

Gambar suspek hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, turut disebarkan di seluruh negara termasuk bagi tujuan pemantauan di pintu masuk, namun belum ada sebarang tangkapan.

Beberapa langkah keselamatan diambil pihak bank untuk menghalang mesin ATM daripada serangan siber termasuk menaik taraf sistem operasi komputer dan menempatkan pengawal keselamatan di setiap mesin dalam tempoh tiga bulan.

Menurut laporan media antrabangsa, kaedah menggodam ATM itu pertama kali dikesan di Mexico pada September tahun lalu, dan berdasarkan kes itu, penyelidik keselamatan Symantec percaya penggodam mengeksploitasi kelemahan operasi ATM yang menggunakan satu sistem perisian jenis lama.

Selain itu, negara dikejutkan dengan kes kebocoran beberapa kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 pada Oktober yang menyebabkan semua calon terpaksa mendudukinya semula.

Peperiksaan semula kertas Bahasa Inggeris dan Sains UPSR telah diadakan pada 30 September lepas manakala bagi mata pelajaran Matematik dan Bahasa Tamil diadakan pada 9 Oktober lalu.

Ekoran kejadian itu, polis mengambil keterangan daripada lebih 30 individu untuk membantu siasatan, manakala Kementerian Pendidikan menggantung tugas Pengarah Lembaga Peperiksaan Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu, Dr Wan Ilias Wan Salleh.

Sehingga kini sudah empat guru dihadapkan di mahkamah masing-masing dua orang di Negeri Sembilan dan Perak atas tuduhan memiliki salinan kertas soalan UPSR itu.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh mengumumkan kerajaan kini sedang melihat keperluan menggunakan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) sebagai peranti alternatif bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

Insiden letupan bom di hadapan sebuah kelab malam di Sun Complex, Bukit Bintang pada 9 Oktober lepas, turut mewujudkan keperluan menggubal undang-undang lebih berkesan dalam mengekang aktiviti kumpulan kongsi gelap.

Ia dipercayai kejadian serangan bom pertama di pusat hiburan di negara ini, yang menyebabkan seorang joki kereta, Tiong Kwong Yie, 36, maut dan 12 lagi cedera termasuk pelancong asing.

Polis percaya kejadian itu merupakan cubaan membunuh yang bermotifkan persaingan aktiviti haram ke atas seorang lelaki kerana penglibatannya dalam menjalankan aktiviti perjudian haram.

Sehingga kini belum ada tangkapan dan polis hanya mendedahkan wajah suspek utama, seorang lelaki berusia 40-an.

Dekan Kolej Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed menyatakan perlunya undang-undang khas yang setara dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digubal segera bagi membanteras rangkaian kongsi gelap dan jenayah berat setelah ISA dan Ordinan Darurat (OE) dimansuhkan pada 2012. - Bernama

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply