Bayaran Lumayan Punca Zizan Razak Jadi Artis Astro
PETALING JAYA: Pelawak Zizan Razak memberitahu tawaran dengan bayaran yang agak tinggi antara punca dia bersetuju untuk berada di bawah pengurusan pihak Astro.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak berkata, dia juga yakin pengurusan syarikat itu mampu merancang kerjayanya dengan lebih baik dan tersusun.
"Saya juga terkejut pihak Astro mengumumkan saya sebagai artis di bawah pengurusan mereka pada malam itu (Isnin lalu) kerana malam itu juga kami berbincang dan mereka tawarkan untuk menguruskan kerjaya saya.
"Insya-Allah akan ada satu sidang media yang akan menjelaskan perkara ini. Saya tidak boleh beritahu berapa mereka tawarkan tetapi tidak dinafikan tawaran mereka agak tinggi," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.
Pada malam pelancaran program baharu hlife! yang diadakan di Stadium Chin Woon pada malam Isnin lalu, Zizan disebut sebagai artis baharu di bawah pengurusan stesen televisyen berbayar itu.
Pada majlis berkenaan Nabil Ahmad yang bertindak sebagai pengacara turut mengusik Zizan telah menerima kontrak bernilai RM2 juta.
Dalam pada itu, Zizan berkata, dia masih lagi bersama dengan syarikat pengurusannya Wirefame Entertaiment sebagai rakan kongsi dan akan terus memantau aktiviti syarikat tersebut.
"Saya masih pemegang saham 70 peratus dengan Wirefame dan saya akan terus memantau perkembangan syarikat tersebut. Cuma mereka tidak uruskan kerjaya saya lagi," katanya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada kekasihnya Emma Maembong akan mengikut jejak langkahnya bersama stesen televisyen tersebut, Zizan berkata, buat masa ini dia sahaja yang menerima tawaran berkenaan.
"Emma masih lagi di bawah pengurusan Wirefame sehingga dia tamat kontrak pada Jun depan. Selepas itu terpulang kepada dia jika ingin menguruskan kerjayanya sendiri.
"Jika dia ingin uruskan kerjaya sendiri bagus juga, saya hanya menyokong apa juga keputusan dia," katanya.
Sementara itu, Zizan berkata, dia masih lagi memikul tanggungjawab sebagai pengacara rancangan Melodi di TV3, biarpun berada di bawah pengurusan stesen televisyen lain.
Tambahnya, perkara tersebut sudah dibincangkan dan pihak Astro memberi kelonggaran untuk dia menerima tawaran daripada syarikat televisyen lain.
"Kami sudah berbincang tentang itu dan tidak ada masalah dan saya akan terus menjadi pengacara Melodi," katanya. -mstar
No comments: