» » Tengku Abdullah menang


TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah dipilih sebagai Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2014-2018 selepas mendapat mandat daripada para perwakilan badan induk bola sepak negara itu pada Kongress FAM ke-50 di Hotel Holiday Inn Glenmarie, Shah Alam semalam.

Pemilihan itu berkuat kuasa sejurus penyandangnya, Sultan Ahmad Shah mengambil keputusan menarik diri untuk bertanding bagi memberikan laluan kepada Tengku Abdullah dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertanding merebut jawatan presiden.

Seperti yang diramalkan, Tengku Abdullah mendapat kepercayaan penuh daripada ahli-ahli gabungan FAM yang menyaksikan baginda meraih 27 undi berbanding 12 undi yang diperoleh pencabarnya Tunku Ismail iaitu Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Pada proses undian pusingan pertama, Tengku Abdullah meraih 24 undi manakala Tunku Ismail yang tidak hadir pada kongres tersebut mendapat 15 undi.

Apabila proses pengundian pusingan kedua dilangsungkan, jumlah undi untuk Tengku Abdullah terus meningkat apabila meraih 27 undi berbanding Tunku Ismail yang sekadar mendapat 12 undi.

Menurut artikel 39.2 perlembagaan FAM, bagi pemilihan jawatan Presiden, dua pertiga undian akan direkodkan dan disahkan dan jika kurang daripada dua pertiga, undian pusingan kedua akan dijalankan.

"Jumlah 39 undi memerlukan calon meraih 26 undi untuk memperoleh majoriti dua pertiga. Oleh itu, kita adakan undian sekali lagi untuk jawatan Presiden sahaja," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Pada proses pengundian pusingan kedua itu, undian untuk Tengku Abdullah terus meningkat apabila mendapat tambahan tiga lagi undi daripada para perwakilan yang hadir.

Bagi dua jawatan Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal yang dianggap sebagai calon popular untuk memenangi jawatan tersebut menerima kejutan besar apabila ahli-ahli perwakilan FAM memilih Datuk Seri Afandi Hamzah dan Datuk Mokhtar Ahmad sebagai Timbalan Presiden baharu.

Subahan yang sebelum ini penyandang jawatan Naib Presiden, tewas tipis satu undi kepada Mokhtar yang meraih 26 undi manakala Afandi kekal sebagai Timbalan Presiden I selepas meraih 27 undi.

Kekalahan Subahan itu dianggap sebagai kejutan besar dalam Kongres FAM ke-50 kali ini memandangkan beliau memiliki pengalaman luas ketika berada dalam barisan kepimpinan FAM sebelum ini, selain dilantik sebagai pengurus pasukan Harimau Malaya.

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply