» » Ugut bakar bank sebelum melarikan RM60,000 tunai

POLIS forensik menyiasat kes rompakan di bank di Sungai Dua, Georgetown, hari ini. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Dua penjenayah nekad membaling bungkusan plastik mengandungi petrol selain mencurahkan bahan bakar itu atas lantai sebelum mengugut membakar premis ketika menggertak kakitangan bertugas dalam rompakan bank di Jalan Sungai Dua, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 2.45 petang itu, suspek dikatakan membaling bungkusan itu ke belakang kaunter selain mencurahkan baki bahan bakar dibawa dalam botol minuman (botol air mineral) ke atas lantai bank berkenaan.

Mereka kemudian melarikan diri bersama hasil samun berjumlah RM60,000 diisi dalam beg kitar semula ketika rompakan yang hanya mengambil masa kurang daripada lima minit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash berkata, siasatan awal dilakukan pihaknya mendapati kejadian itu membabitkan tiga suspek mengunggang dua motosikal.

Namum, hanya dua daripada mereka yang menutup muka menggunakan topeng, lengkap memakai topi keledar dan cermin mata masuk ke dalam bank melalui pintu kiosk mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dengan berlagak sebagai pelanggan sebelum melurus ke arah kaunter hadapan.

Beliau berkata, seorang daripada suspek mengugut pelanggan dan pekerja bank agar tidak melawan selain mengikut segala arahan yang diberikan mereka.

"Lelaki berkenaan kemudian mengarahkan pelanggan berkumpul di satu sudut dalam premis berkenaan. Ketika itu rakannya menggunakan parang mengacukan senjata tajam itu kepada seorang juruwang.

"Dia kemudian mengarah kakitangan berkenaan supaya mengisi wang tunai hasil kutipan urus niaga pelanggan ke dalam sebuah beg kitar semula dibawanya.

"Suspek turut bertindak mengikat pintu hadapan menggunakan tali getah, mereka kemudian melarikan diri menggunakan dua motosikal bersama seorang lagi rakan ketika itu menunggu di luar premis," katanya.

Dua dari suspek berkenaan kemudian melarikan diri menghala ke arah Universiti Sains Malaysia (USM) manakala rakan mereka melarikan diri ke arah Sungai Dua.

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply