
BALING - Orang ramai diminta mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan tercetusnya kebakaran lebih besar hingga sukar dikawal pada musim kemarau ini.
Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Sufian Alias berkata, pihaknya terpaksa memadamkan sekurang-kurangnya empat kebakaran dalam sehari yang berpunca daripada kecuaian dan perbuatan manusia.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Kampung Ketemba, Kupang dekat sini hari ini selepas pihaknya memadam kebakaran di kawasan belukar tanah milik persendirian seluas lebih empat hektar.
Katanya, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.45 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama tujuh anggota bagi mengawal api daripada merebak ke kawasan perumahan berdekatan.
Tambah Sufian, pihaknya turut berterima kasih kepada anggota bomba sukarela yang membantu memadamkan kebakaran di kawasan belukar dan lalang. - Bernama
No comments: