» » PGA mohon tambah anggota batalion


KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) akan memohon supaya batalionnya diperbesarkan semula seperti ketika ia dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan (PPH), kata Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid.

Beliau berkata, cadangan itu sejajar perancangan untuk menjenamakan semula PGA selain persediaan mewujudkan kawasan keselamatan khas di negeri ini yang sama seperti Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
"Ketika dikenali sebagai PPH, kekuatan satu batalionnya ialah lebih 800 anggota dengan empat kompeni dan empat platun.

"Namun, kini satu batalion hanya dianggotai 600 orang, tiga kompeni dan tiga platun. PGA mahu minta supaya penjawatan ini dikembalikan seperti asal," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

PPH ditukar namanya kepada PGA pada 1989 selepas negara tidak lagi menerima ancaman komunis.

Salleh berkata, bilangan anggota itu perlu ditambah demi perancangan dari aspek penugasan, peluang menjalani latihan serta kebajikan pegawai serta anggota akan lebih terpelihara.

"Dengan kekuatan sedia ada, PGA boleh jalankan tugas tetapi daripada segi pusingan kerja itu tidak berapa selesa kerana hanya tiga kompeni dan platun, kalau empat kompeni dan tiga platun lebih tersusun dari segi pusingan tugas.
"Saya juga melihat penambahan kekuatan batalion ini mampu menghasilkan penugasan cemerlang, melengkapkan ilmu pengetahuan melalui latihan, serta memberi ruang kebajikan pegawai serta anggota dijaga supaya mempunyai ruang yang cukup untuk bersama keluarga," katanya.

Selain menambah anggota, katanya PGA juga memohon untuk meningkatkan keupayaan pasukan itu dari segi peralatan seperti kenderaan supaya selaras dengan situasi semasa.

Sebelum itu, Salleh menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Komander PGA Briged Sarawak ke-25 oleh Pemangku Timbalan Komander ACP Zahari Ahmad kepada komander yang baharu, SAC Datuk Isa Munir yang juga bekas Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman.

Zahari memangku tugas itu mulai 15 Januari lalu berikutan persaraan Komander PGA Briged Sarawak ke-24, Datuk Wan Abdullah Tuanku Said.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Law Hong Soon.

- BERNAMA

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply