» » Perlu ESSCOMM di Sarawak ekoran wujud ancaman tahap rendah

(Foto/Utusan)

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Usaha awal untuk mengekang ancaman tahap rendah memerlukan pentadbiran Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOMM) diperluaskan ke Sarawak bagi membolehkan ancaman itu dihalang dengan tuntas dan pantas.

Panglima Angkatan Tentera, Jen. Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin bagaimanapun berkata, keperluan ESSCOMM versi Sarawak itu turut bergantung dengan kemampuan kerajaan dalam menempatkan anggota pertahanan dan keselamatan di negeri terbesar di Malaysia itu.

"Tapi, bak kata Menteri (Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) baru-baru ini, kita perlu berfikir di luar kotak. Bukan hanya tanggungjawab kerajaan sendirian menyediakan pasukan pertahanan dan keselamatan di situ, ia juga boleh dipikul bersama oleh mana-mana pemain industri yang mempunyai kepentingan di situ. Ia sedikit sebanyak boleh mengurangkan kos yang perlu dibelanjakan oleh kerajaan.

"Kami sebenarnya tidak perlu menempatkan aset-aset pertahanan utama di situ yang akan membabitkan kos yang amat tinggi, cukup dengan tentera darat yang boleh dikerahkan pada bila-bila masa dan mereka mampu bertindak dengan cepat untuk menghalang sebarang anasir subversif.

"Apa pun, pasukan keselamatan yang akan ditugaskan di ESSCOMM versi Sarawak itu hanyalah untuk ancaman tahap rendah dan bukan ancaman konvensional," katanya pada sidang akhbar pengumuman tajaan dan penyerahan kontrak penyertaan pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifeli turut menegaskan, keperluan untuk mewujudkan ESSCOMM versi Sarawak itu perlu ekoran baru-baru ini ketua Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari telah mengisytiharkan penubuhan Republik Mindanao yang didakwa akan turut merangkumi Pulau Palawan, Sabah dan juga Sarawak.

"Misuari serius dengan perkara ini (penubuhan Republik Mindanao) ekoran dia turut menyerang Zamboanga City yang mengakibatkan banyak nyawa terkorban dan kemusnahan bandar berkenaan untuk menunjukkan kekuasaan dia.

"Insiden di Lahad Datu telah menimbulkan beberapa masalah terhadap Pelan Pembangunan Kemampuan Strategik Kententeraan di bawah Dimensi Keempat Angkatan Tentera Malaysia (4DMAF) yang memerlukan kita kembali mengolah pelan strategik berkenaan.

"Ini berikutan, ancaman yang kita terima ketika itu tidak dapat dikesan lebih awal ekoran mereka bukan menjadi sasaran utama, mereka sebenarnya adalah ancaman tahap rendah itu.

"Ini berikutan dalam kita meningkatkan usaha untuk mempertahankan kemampuan kedaulatan negara, kita lupa tentang ancaman tahap rendah ini. Jadi ini merupakan isu yang perlu kami lihat secara teliti.

"Kita boleh menyelesaikan insiden di Lahad Datu dengan lebih efisien jika kita mampu mengekang ancaman tahap rendah ini. Mungkin kita terlepas pandang isu berkenaan, jadi kini ia akan diutamakan bukan hanya di Sabah, tapi kini di Sarawak juga," katanya. - UTUSAN

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply