Kuala Lumpur: Pendaftaran perniagaan dan syarikat di negara ini mencatatkan pertumbuhan masing-masing 1.6 peratus dan 1.9 peratus tahun lalu berbanding 14.11 peratus dan -0.03 peratus pada 2012 dibantu perkembangan positif ekonomi semasa.
Sehingga 31 Disember lalu, sebanyak 1,064,262 syarikat diperbadankan (didaftarkan). Sebanyak 46,249 syarikat tempatan dan 72 lagi syarikat asing didaftarkan tahun lalu berbanding 45,441 pada 2012 dengan kadar purata pendaftaran 42,200 syarikat setiap tahun. Untuk kategori perniagaan pula, 5,301,378 didaftarkan dengan 329,895 perniagaan pada tahun lalu dengan terbahagi kepada 281,102 milikan tunggal dan 48,793 perkongsian yang kadar purata pendaftaran 261,890 setahun.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, SSM mengenal pasti enam faktor menyumbang kepada pertumbuhan terbabit iaitu pengenalan insentif kepada golongan penjaja dan peniaga kecil, kewujudan kemudahan pendaftaran di Pusat Transformasi Bandar (UTC), pelaksanaan pengurangan fi pemerbadanan RM1,000 bagi syarikat dengan modal saham tidak melebihi RM400,000.
Selain itu, SSM turut melaksanakan mandatori pemerbadanan secara atas talian melalui portal MyCoID di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan serta negari lain pada masa terdekat, pengenalan Data Maklumat Syarikat dan perniagaan (CIBD) dan Easybiz Kiosk iaitu alternatif kepada saluran perkhidmatan penyampaian elektronik.
“Untuk tahun ini, kami berharap trend pertumbuhan bagi pendaftaran syarikat kekal positif seperti tahun lalu dan dijangka kadar pertumbuhan tahunan pendaftaran baru mencapai lingkungan dua peratus,” katanya.
Beliau berkata, tahun lalu menyaksikan 26,430 syarikat dibubarkan sama ada melalui proses penggulungan atau proses pembatalan nama syarikat domain pada tahun ini apabila angka terbabit mengatasi jumlah keseluruhan syarikat dibubarkan pada 2012 iaitu 17,092 syarikat. Menurutnya, jika angka terbabit diambil kira maka jumlah keseluruhan syarikat dibubarkan tahun lalu meningkat 54 peratus berbanding 2012 iaitu membabitkan perbezaan 9,338 syarikat.
- HM
No comments: