» » Kerugian, Kerosakan Tanaman Akibat Banjir Akan Dinilai - Menteri Sabah



BEAUFORT: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah akan meneliti kerugian dan kerosakan tanaman yang dialami pekebun kecil di beberapa daerah yang terjejas banjir, baru-baru ini.

Menterinya Datuk Yahya Hussin berkata beliau telah meminta pengerusi jawatakuasa bencana alam daerah terlibat mengumpul maklumat berkenaan untuk dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet negeri.

"Untuk tanaman yang rosak, tidak banyak yang kita dapat buat. Tetapi kita boleh fikiran tentang pengairan dan saliran seperti pembinaan sistem perparitan yang mencukupi.

"Kita juga boleh mengadakan kolam di mana kita boleh mengurung atau memerangkap air yang bertakung banyak," katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa kawasan banjir di sini Khamis.

Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata selain Beaufort, daerah lain yang terjejas ialah Keningau, Tenom dan Sipitang.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengenal pasti kontraktor untuk melakukan kerja pembersihan dan pengeluaran air bertakung, khususnya di kawasan tanaman kelapa sawit.

"Kita harap pihak kontraktor akan membuat kerja ini secepat mungkin kerana air yang bertakung ini menyukarkan pekebun kecil untuk membawa keluar hasil tanaman sawit dan telah menjejaskan pendapatan mereka," katanya.

Yahya turut menasihatkan pemimpin dan pihak berkuasa tempatan di daerah terjejas banjir agar memikirkan langkah yang boleh meringankan beban penduduk banjir melanda, pada masa akan datang.

"Orang-orang dahulu suka buat rumah bertiang untuk mengelak banjir. Kita boleh mengesyorkan pemaju hartanah supaya memikirkan pelan pembinaan sesuatu projek perumahan atau bangunan.

"Beberapa kawasan seperti di Beaufort ini memang selalu dilanda banjir kerana tanah rendah dan ada yang di bawah paras air laut," katanya. - BERNAMA

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply