Keadaan kereta Proton Perdana yang merempuh motosikal dinaiki dua beradik dalam kemalangan di sini hari ini. - KOSMO!/ROSMIZAN
KUALA KRAI - Dua adik-beradik yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Laloh di sini maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan ketika dalam perjalanan ke sekolah pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintenden Nuraddin Wahab berkata, mangsa Haizum Ibrahim, 17, dan adiknya, Asmaida, 14, kedua-duanya perempuan, maut di tempat kejadian selepas dirempuh Proton Perdana di Kilometer 98 Jalan Kota Bharu-Gua Musang pada pukul 7.30 pagi.
"Sebelum kejadian, motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang Haizum dipercayai keluar dari simpang Lata Rek ke Laloh dan mangsa telah dirempuh kenderaan itu yang dalam perjalanan ke Gua Musang," katanya kepada pemberita.
Katanya, kedua-dua beradik itu kemudiannya terpelanting dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat kedua-duanya dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga mangsa tengah hari tadi," ujarnya. - Bernama
No comments: