» » Terengganu kembali pimpin carta Liga Super



SARAWAK dimalukan di hadapan kira-kira 20,000 penyokong sendiri selepas tewas 1-3 kepada Terengganu dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak malam tadi.

Beraksi di laman sendiri dengan sokongan padu penyokong setia, aksi babak pertama jelas dikuasai pasukan pelawat yang garang melancarkan banyak gerakan berbahaya sebaik perlawanan dimulakan.

Serangan demi serangan skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-20 menerusi sepakan percuma kapten Terengganu, Zairo Anuar Zailani.

Tersentak dengan jaringan pasukan lawan, Bujang Senang kembali memperkemaskan jentera serangan.

Hasilnya, Sarawak memperoleh gol penyamaan menerusi sepakan deras dari luar kotak penalti oleh penyerang, Mohamad Rashid Aya pada minit ke-28.

Meskipun bertarung dalam keadaan cuaca hujan dan basah, kedua-dua pasukan tetap menampilkan aksi bertenaga dan terus melancarkan serangan bertali arus sehingga aksi babak pertama berakhir.

Sebaik babak kedua bersambung, Terengganu dilihat semakin garang melancarkan serangan, namun mudah dipatahkan benteng pertahanan anak-anak buah Robert Albrets.

Kemasukan pemain import, Moustapha Dabo yang menggantikan Mamadou Hary Barry pada minit ke-60 ternyata memberikan tonik tambahan kepada jentera serangan Sang Penyu.

Penyerang import dari Senegal itu berjaya menjaringkan gol kedua pasukan pelawat pada minit ke-64.

Kerapuhan benteng pertahanan Bujang Senang semakin ketara apabila pasukan pelawat berjaya menambah derita tuan rumah empat minit kemudian menerusi jaringan Mohd. Norfarhan Muhamad pada minit ke-68.

Percaturan Alberts untuk terus memburu gol dengan memasukkan Joseph Kalang Tie bagaimanapun tidak menjadi dengan setiap serangan yang dilancarkan mudah dipatahkan benteng pertahanan lawan.

Sarawak kembali menggandakan asakan dan berjaya memperoleh dua peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan pada minit ke-80, namun rembatan deras S. Chanthuru gagal menepati sasaran.

Lima minit kemudian, tonggak import Sarawak, Ryan Alan Griffiths mempersia-siakan peluang untuk menambah jaringan selepas tandukannya gagal menewaskan penjaga gol lawan, Mohd. Sharbinee Allawee.

Sejurus tamat perlawanan, segelintir penyokong Sarawak yang kecewa dengan kekalahan Bujang Senang memasuki kawasan padang. Namun, situasi kecoh itu berjaya dikawal pihak polis.

Dengan kemenangan itu, Terengganu kembali menerajui takhta Liga Super apabila mengumpul 20 mata selepas mengharungi 10 perlawanan.

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply