» » ‘Raja Bomoh’ disiasat


Ipoh: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sudah membuka kertas siasatan bagi menyiasat perbuatan Raja Bomoh, Mat Zin Ibrahim yang mengadakan upacara di hadapan Menara Condong Teluk Intan pada 16 Mac lalu sehingga menggemparkan umat Islam negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Nizar Zakaria berkata, perkara itu disiasat mengikut Seksyen 9 (Ajaran Agama dan Amalan Salah), Enakmen Janayah Syariah Negeri Perak 1992.

“Kami memandang serius perkara itu kerana amalan bomoh yang bercanggah dengan syariat Islam boleh membawa kepada syirik atau menyekutukan Allah.

“Terima kasih kepada Yang Berhormat Changkat Jering di atas kesungguhan dan kepekaan terhadap isu Raja Bomoh di hadapan Menara Condong yang dianggap menghina Islam,” katanya pada sesi Penggulungan Perbahasan Titah Ucapan Pemangku Raja Perak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Changkat Jering) yang mahukan penjelasan berhubung tindakan yang diambil kerajaan terhadap Raja Bomoh berkenaan yang dianggap menghina Islam.

Menurutnya, kesalahan itu jika disabitkan boleh membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, tindakan Mat Zin yang mengadakan upacara ritual di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk membantu mengesan pesawat MH370 hangat diperkatakan.

- HM

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply