» » MH370: Pencarian masih buntu, mungkin ada petunjuk baru - Hisham

(Foto/leaderpost)

SEPANG 15 Mac - Usaha mencari pesawat Boeing 777-200ER Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak awal Sabtu lalu masih buntu, namun kemungkinan ada petunjuk baharu, kata pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurut beliau, kini pihak penyiasat Amerika Syarikat sedang mendapatkan data yang diperoleh daripada pelbagai sumber radar serta satelit dan berkemungkinan ada maklumat baharu yang akan diperoleh.

"Beri kami masa, dalam beberapa hari lagi semua data yang kami peroleh akan dapat kami capai satu kesimpulan untuk petunjuk baharu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar harian insiden kehilangan pesawat Boeing 777-200ER MH370 pada hari ketujuh di Pusat Media Hotel Sama-Sama, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan diasak oleh media asing yang mahukan satu kepastian sama ada transponder pesawat MH370 sengaja ditutup dan kemungkinan siasatan dijalankan di rumah juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah.

Dalam jawapannya, beliau berkata, pasukan penyiasat tidak akan menyia-nyiakan sebarang maklumat dan akan melakukan siasatan.

"Apa yang ingin saya tegaskan di sini ialah misi dan tumpuan utama kami ialah mencari pesawat yang hilang itu dan jika boleh mahu mendapatkan kotak hitam pesawat berkenaan jika ada.

"Daripada itu, kita akan mengetahui banyak perkara. Namun, kita tidak akan menyia-nyiakan sebarang maklumat yang diperoleh setakat ini, semuanya kami kumpul untuk disiasat," sambil menambah tidak ada penggeledahan dibuat terhadap rumah juruterbang MH370 sehingga kini. - Utusan

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply