» » IPU Banting sangat tidak sihat, Pelabuhan Klang kekal berbahaya


 KUALA LUMPUR 14 Mac - Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Banting menurun kepada bacaan sangat tidak sihat iaitu 294 setakat 12 tengah hari ini berbanding bacaan berbahaya pagi tadi.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di kawasan itu semakin menurun daripada 318 (6 pagi), 316 (7 pagi), 311 (8 pagi), 306 (9 pagi), 304 (10 pagi) dan 301 (11 pagi).

Bacaan IPU di Pelabuhan Klang pula tidak berubah dan masih dalam kategori berbahaya, bagaimanapun, bacaannya menurun dari 350 pada 6 pagi tadi kepada 304, 12 tengah hari ini.

12 kawasan pula mencatatkan IPU tidak sihat berbanding 13 kawasan pagi tadi iaitu Petaling Jaya (182), Batu Muda (177), Putrajaya (167), Port Dickson (165), Shah Alam (160), Nilai (159), Seremban (145), Cheras (143), Kuala Selangor (134), Bukit Rambai (133), Bandaraya Melaka (120) dan Muar (109).

Tanjung Malim yang mencatatkan IPU tidak sihat iaitu 110 pada 6 pagi tadi menurun kepada sederhana iaitu 94 tengah hari ini.

Selain Tanjung Malim, 18 kawasan lain mencatatkan IPU sederhana dan 19 lagi mencatat bacaan IPU baik.

Jabatan Pendidikan Selangor (JPS) telah mengarahkan kesemua 71 buah sekolah di daerah Kuala Langat supaya ditutup hari ini berikutan jerebu, selain 131 sekolah di daerah Klang.

Bacaan IPU yang baik berada antara 0-50, sederhana pada 51-100, tidak sihat (100-200), sangat tidak sihat (200-300) dan berbahaya (lebih 300).

Orang ramai boleh menyemak status IPU di kawasan masing-masing dengan melayari portal http://apims.doe.gov.my. - BERNAMA

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply