(gambar hiasan)
Ipoh: Dua samseng yang menaiki motosikal bertindak ganas apabila menyerang dan memecah cermin kenderaan pacuan empat roda dinaiki kenamaan Orang Besar Jajahan Hilir Perak.
Dalam kejadian jam 3.40 petang semalam, kenderaan dinaiki Datuk Seri Mohd Amin Shukeri Ali itu, menjadi sasaran ketika melalui hadapan Klinik Kesihatan Kampar di Jalan Degong, Kampar.
Sumber polis berkata, dua suspek itu hanya disedari muncul bersebelahan kenderaan pacuan empat roda model Honda CRV yang dipandu pemandu kenamaan terbabit.
“Dua lelaki itu tiba-tiba menghayunkan topi keledar ke arah cermin hadapan kenderaan itu menyebabkannya pecah, manakala topi keledar itu pula terjatuh.
“Suspek yang menaiki motosikal Honda EX5 itu kemudian melarikan diri,” kata sumber berkenaan.
Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kampar berhubung kejadian itu.
“Hasil soal siasat, pemandu kenderaan kenamaan itu berusia 39 tahun mendakwa tidak tahu berhubung punca serangan itu berikutan tidak bermusuh dengan sesiapa.
“Dia yang sudah tiga tahun bekerja sebagai pemandu percaya kejadian serangan itu dilakukan secara rambang,” katanya.
Beliau berkata, polis sedang berusaha mendapatkan kesan cap jari pada topi keledar berkenaan yang digunakan suspek.
Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu, namun enggan mengulas lanjut.
- HM
No comments: