SHAH ALAM 20 Feb. - Bagi memudahkan warga bandar raya ini membuat bayaran kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pihak berkuasa tempatan itu memperkenalkan perkhidmatan kaunter bergerak dinamakan Shah Alam On Wheels (SAOW).
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Jaafar Mohd. Atan berkata, buat permulaan, kaunter tersebut beroperasi di hadapan Kompleks Ole-Ole di Seksyen 18 di sini.
"Sambutan orang ramai amat menggalakkan dan kebanyakan mereka datang membayar cukai taksiran dan membuat pertanyaan berhubung perkhidmatan yang disediakan.
"Jika mendapat sambutan, kita akan memperluaskan kemudahan SAOW di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai setiap minggu terutama pada hujung minggu seperti Sabtu dan Ahad," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak SAOW, di sini baru-baru ini.
Mohd. Jaafar berkata, kewujudan SAOW secara tidak langsung akan memperkasakan sistem penyampaian MBSA demi memberi kemudahan kepada orang ramai untuk berurusan tanpa perlu ke pejabat-pejabat cawangan di Sungai Buloh, Kota Kemuning dan Setia Alam.
Menurutnya, konsep turun padang tersebut akan menampilkan petugas-petugas dari Jabatan Kewangan, Pelesenan dan Penguatkuasaan, Korporat serta dan Bangunan untuk menyediakan khidmat kepada orang ramai.
Jelasnya, selain membayar cukai pintu, MBSA menyediakan khidmat semakan dan membayar kompaun, membuat aduan, pembaharuan dan semakan status lesen dan penjualan buku pelan setara.
"Kita juga akan menggerakkan SAOW ke kawasan tertentu atas permintaan pertubuhan bukan kerajaan seperti persatuan penduduk dan sebagainya," ujarnya.
-
Utusan
No comments: