» » Biar FAM selesai isu bola sepak

PARA pemimpin, bekas pemain bola sepak negara bersetuju dengan nasihat Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung kontroversi sumpah al-Quran yang dilakukan oleh pemain serta pegawai pasukan T-Team.

Mereka berpendapat tindakan tersebut dilihat bertentangan dengan konsep semangat kesukanan yang sentiasa diberi penekanan dalam kalangan ahli dan pemimpin sukan di Malaysia.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh menjelaskan, nasihat Tengku Abdullah (selaku Timbalan Presiden FAM) seharusnya dipandang serius oleh para pemimpin mahu pun ahli sukan terbabit.

Katanya, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya dan tindakan membabitkan hal-hal agama seharusnya dielakkan. Sumpah al-Quran bukan jalan penyelesaian walaupun ia bertujuan untuk menegakkan kebenaran.

“Setiap pasukan yang bersaing dalam liga seharusnya mengambil pendekatan yang lebih profesional dan jika berlaku sebarang insiden kekecohan, ia hendaklah dirujuk dengan FAM terlebih dahulu. Biar FAM yang buat kerja kerana mereka mempunyai undang-undang untuk menyelesaikan mana-mana kes. Tidak perlu libatkan hal agama walaupun ia dilihat sebagai jalan terbaik untuk menegakkan kebenaran,” jelas Che Mat.

Menurutnya, memang tidak dinafikan ada persatuan melihat pendekatan yang berbeza, tetapi dalam kes seperti ini, ia seharusnya diserahkan kepada FAM.

“Ada pandangan yang berbeza, saya tahu mereka (T-Team) mahu mencari kebenaran dan bagi mereka, (membuat sumpah al-Quran) adalah jalan yang terbaik untuk menegakkan keadilan.

“Benda yang lepas, biarkan ia berlalu tetapi saya berharap selepas ini, tiada lagi mana-mana pasukan dalam Liga M berbuat demikian.

“Mereka harus faham tindakan sumpah al-Quran. Saya percaya sukan bola sepak ini sebenarnya tidak perlu sampai ke peringkat tersebut.

“Banyak lagi cara lain untuk menyelesaikannya, tetapi ia hendaklah berlandaskan semangat kesukanan tanpa melibatkan sentimen agama (Islam),” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Semalam, Tengku Abdullah menasihatkan pihak terbabit agar mengelak daripada melakukan sumpah al-Quran kerana ayat-ayat al-Quran ini bukan benda yang boleh dimain-mainkan.

Titah baginda: “Jangan main-main dengan ayat al-Quran. Biar FAM yang buat kerja. Kita ada jawatankuasa tertentu untuk mengendalikan sesuatu kes.”

Tengku Abdullah yang juga Tengku Mahkota Pahang bertitah demikian bagi mengulas langkah yang diambil oleh para pemain dan pegawai pasukan T-Team yang melakukan sumpah al-Quran bagi mencari kebenaran terhadap insiden kekecohan dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain pada aksi pusingan kedua kempen Piala FA 2014 antara Johor Darul Takzim (Johor DT) menentang T-Team pada 1 Februari lalu.

Insiden tersebut dilaporkan berlaku pada waktu rehat separuh masa pertama perlawanan tersebut yang menyaksikan Johor DT mendahului 2-1.

Mengulas lanjut, Tengku Abdullah bertitah, masih banyak lagi cara lain untuk menyelesaikan insiden tersebut dan berharap sentimen agama tidak perlu dipermainkan dalam kemelut sukan bola sepak tanah air.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad turut senada dengan pandangan yang dilontarkan oleh Tengku Abdullah.

Katanya, mana-mana pasukan perlu memahami prosedur sumpah al-Quran dan pihak terbabit perlu merujuk terlebih dahulu dengan orang yang lebih arif berkenaan ahl-hal berkaitan agama.

“Pada pendapat saya, perkara seperti ini tidak perlu melibatkan hal-hal agama. Kita harus mengikut peraturan (FAM) yang sedia ada.

“Sumpah al-Quran itu agak besar. Jika sampai ke tahap itu, mungkin ada sesuatu yang mahu ditegakkan oleh pasukan tersebut tetapi saya fikir, mungkin bola sepak tidak perlu sampai ke peringkat tersebut,” katanya.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Datuk Shukor Salleh menggesa pasukan-pasukan lain agar tidak lagi melakukan perbuatan sama meskipun cuba mencari jalan kebenaran.

Beliau menganggap insiden yang dialami pasukan T-Team itu seharusnya diserahkan kepada FAM kerana badan induk bola sepak negara itu ada undang-undang untuk menyelesaikan sesuatu kes.

-kosmo

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply