» » Tips Bekerja di Luar Negara


Ada banyak persiapan yang perlu dilakukan sebelum anda berlepas ke luar negara untuk memulakan tugas baru.

Jangan ambil ringan dan menunggu saat-saat akhir untuk membuat persiapan tersebut.

Di antara persiapan-persiapan penting yang perlu dibuat:

* Pastikan segala dokumen perjalanan seperti visa, pasport dan tiket kapal terbang sudah dikemaskini dan disahkan sebelum anda bertolak.

* Jika boleh, pastikan ada seseorang menunggu anda di lapangan terbang di destinasi yang akan dituju dan menghantar anda ke tempat kediaman baru anda.

* Anda perlu mempunyai wang saku yang mencukupi untuk perbelanjaan makan dan minum di lapangan terbang, untuk menampung hal-hal kecemasan dan perkara yang tidak diduga seperti kelewatan pesawat dan sebagainya.

* Pastikan berapa banyak wang yang anda perlu sediakan untuk perbelanjaan sekurang-kurangnya satu bulan (sebelum anda menerima gaji anda yang pertama daripada majikan baru) di tempat kerja baru. Ini termasuk perbelanjaan untuk makan dan minum, pakaian, sewa dan deposit rumah, api dan air, sewa kereta atau wang pendahuluan untuk membeli kereta baru atau kereta terpakai atau wang untuk membeli perabot (jika tempat tinggal anda tidak disediakan kelengkapan tersebut).

* Jangan terlalu banyak membawa wang tunai. Bawa sekadar untuk perbelanjaan perjalanan sahaja manakala yang lainnya, tukarkan ke dalam bentuk cek kembara (travellers' cheque). Ini lebih selamat kerana tidak mudah untuk sesiapa menukar cek kembara anda kepada wang tunai tanpa dokumen yang sah seperti pasport. Jangan berlengah-lengah untuk membuka akaun bank dan menyimpan wang simpanan yang dibawa. Kalau berada di Amerika Syarikat, banyak transaksi yang menggunakan cek (membeli belah di pasar raya pun boleh guna cek), jadi lebih mudah jika mempunyai Akaun Semasa.

* Jika anda ingin menghantar wang kepada keluarga, cari maklumat bagaimana untuk berbuat demikian. Selain perkhidmatan bank, anda juga boleh menggunakan perkhidmatan Western Union jika ia terdapat di negara tersebut. Buat perbandingan harga dari segi upah perkhidmatan yang dikenakan kerana anda tidak mahu membelanjakan terlalu banyak wang untuk perkhidmatan tersebut.

* Anda tidak akan mempunyai banyak masalah jika bahasa utama negara yang akan dituju menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda atau bahasa pengantar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom atau Kanada. Tetapi anda pasti akan mempunyai sedikit masalah jika menuju ke negara yang bukan semua penduduknya boleh bertutur bahasa Inggeris seperti Perancis, Itali, Sepanyol, Brazil dan negara Arab. Jadi, jangan lupa untuk membawa kamus Bahasa Inggeris - Bahasa Asing (bergantung kepada negara yang akan tuju) bersama anda. Dapatkan juga senaskhah buku yang mengajar berkomunikasi secara mudah (Bahasa Inggeris ke Bahasa Asing) seperti "Apa khabar", "Selamat Pagi", "Selamat Tengah Hari", "Selamat Petang" dan "Selamat Malam".

* "Nama saya……", "Di mana ……", bagaimana hendak sebut nombor 1 hingga 100 dan sebagainya.

* Pastikan sama ada Lesen Memandu Antarabangsa yang dipohon di Malaysia sah di negara yang anda tuju. Jika tidak, di mana dan bagaimana harus anda memohon lessen memandu tersebut?

* Jika anda mempunyai masalah kesihatan seperti darah tinggi, kencing manis atau lelah, pastikan anda membawa bersama bekalan ubat yang mencukupi supaya penyakit tersebut tidak mengganggu anda di dalam menjalankan tugas baru. Oleh kerana perbelanjaan perubatan dan hospital agak mahal di luar negara, pastikan majikan anda menyediakan kemudahan tersebut tanpa anda perlu menggunakan wang simpanan anda.

* Jangan lupa membawa surat tawaran bekerja di luar negara (sangat penting) dan hubungi pekerja di bahagian Sumber Manusia untuk mengesahkan kedatangan anda. Untuk menjimatkan wang, anda boleh melakukannya menerusi internet. Sesetengah organisasi ada menyediakan khidmat untuk menjemput anda dari lapangan terbang ke tempat penempatan sementara yang juga disediakan. Pastikan anda tahu siapa yang perlu dihubungi dan bagaimana untuk menghubungi beliau sekiranya anda berhadapan dengan apa-apa masalah.

* Sebelum berlepas dari Malaysia, catat nombor dan alamat Kedutaan Malaysia di negara yang ingin dituju. Ini boleh membantu anda apabila mempunyai masalah yang berkaitan dengan visa dan hal-hal kecemasan yang memerlukan perlindungan seperti didera atau ditipu oleh majikan atau terpaksa berhadapan dengan peperangan mengejut atau sesuatu bencana alam seperti gempa bumi, banjir besar, tanah runtuh, ribut taufan dan sebagainya.

Menjalinkan perhubungan dengan staf-staf di Kedutaan Malaysia juga boleh membuat anda terasa seperti berada di negara sendiri dan dapat melepaskan kerinduan pada keluarga dan negara, apatah lagi apabila terpaksa menyambut hari perayaan di luar negara.
-Kso

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply