» » Kejutan duit palsu RM20, RM50

 Penjaja menunjukkan wang palsu yang diterima kepada Eddie Ng.

CHERAS – Lebih lima penjaja di Taman Megah dekat sini terkejut selepas mendapati menerima wang palsu RM20 disyaki diberi pelanggan ketika melakukan urus niaga di gerai masing-masing.

Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee berkata, kebanyakan mereka tidak sempat memeriksa ketulenan wang kerana ia dipercayai diberi ketika gerai masing-masing sedang sibuk dan sesak dengan pengunjung.

Katanya, kesemua mangsa bagaimanapun tidak membuat laporan polis.

“Tetapi saya sudah maklumkan perkara ini kepada polis dan harap pihak itu akan melakukan siasatan segera,” katanya.

Dalam kes berlainan, Eddie Ng berkata, beliau turut menerima aduan daripada seorang remaja yang menerima lapan keping wang palsu RM50 dikeluarkan dari mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Batu 11, Cheras.

Menurutnya, remaja itu mengeluarkan wang sebanyak RM2,000 daripada mesin pengeluaran wang untuk didepositkan ke akaun milik rakannya menggunakan mesin deposit wang tunai di bank sama.

Bagaimanapun, mesin deposit terbabit tidak menerima lapan keping wang kertas yang kemudian didapati dicetak dengan tidak sempurna.

Laporan polis dibuat, pihak bank kemudian menggantikan wang kertas dengan nilai sama kepada mangsa selepas itu.

“Saya akan tulis surat kepada Bank Negara Malaysia menggesa siasatan terhadap kes ini malah Ketua Audit Negara negara juga digesa melakukan audit terhadap pencetak wang,” katanya.

Beliau berkata, penyiasatan dan audit adalah penting supaya tidak menimbulkan salah faham kepada mereka yang tidak bersalah kerana menyimpan wang palsu tanpa pengetahuan. - SN

About Admin

Arkib Terkini merupakan sebuah portal yang menyampaikan informasi menyeluruh kepada anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply